ICARDI (dua dari kiri) meraikan hatrik bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP
ICARDI (dua dari kiri) meraikan hatrik bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP
AFP

MILAN: Hatrik Mauro Icardi memastikan kemenangan 3-2 Inter Milan ke atas musuh setempat, AC Milan awal pagi tadi untuk terus mengekori rapat Napoli yang kini mendahului saingan Serie A.

Pada aksi di San Siro yang disaksikan 80,000 penonton itu, Icardi melengkapkan hatrik pada minit terakhir permainan, selepas dua jaringan awalnya pada minit ke-28 dan ke-63.

Pertembungan dua kelab yang dimiliki jutawan Asia yang disifatkan sebagai ‘derbi China’ itu juga menyaksikan dua gol AC Milan dihasilkan oleh Suso pada minit ke-36 dan Giacomo Bonaventura pada minit ke-81.

Kini Inter Milan muncul satu-satunya pencabar terdekat Napoli, hanya dipisahkan dua mata dan kedua-duanya bakal buat perhitungan, minggu depan.

“Menjaringkan tiga gol dalam aksi derbi adalah sesuatu yang istimewa,” kata Icardi. “Paling penting adalah Inter memenangi perlawanan ini.

PEMAIN tengah Inter, Iglesias Borja Valero (tiga dari kiri) melepasi kekangan pemain AC Milan.  FOTO/ AFP
PEMAIN tengah Inter, Iglesias Borja Valero (tiga dari kiri) melepasi kekangan pemain AC Milan. FOTO/ AFP

“Kami sedang berada di landasan yang betul sejak pra musim lagi dan kini, kami perlu fikirkan untuk menghadapi aksi seterusnya menentang pasukan hebat seperti Napoli.

“Ia cukup bermakna buat saya kerana mereka kini sedang mendahului saingan dan beraksi dengan baik.”

Napoli kekal dengan aksi terbaik dengan meraih kemenangan bersih dalam lapan perlawanan setakat ini termasuk ketika menang 1-0 ke atas AS Roma, hasil jaringan tunggal Lorenzo Insigne.

Sementara itu, kekalahan AC Milan menyaksikan mereka terjerumus ke tangga ke-10 liga, sekali gus memberi tekanan kepada pengendalinya, Vincenzo Montella.

“Cuba lihat pada kedudukan sekarang, ia seperti kami tidak mencapai sesuatu, namun musim ini masih lagi jauh.

“Walau apa pun yang dikatakan oleh orang lain, saya kekal mengatakan pasukan ini memiliki kualiti,” kata Montella.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 9:57 AM