CHONG Wei (kiri) dilihat sedang mengajar Lin Dan. FOTO Lee Chong Wei
CHONG Wei (kiri) dilihat sedang mengajar Lin Dan. FOTO Lee Chong Wei
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sempat mengajar musuh tradisinya, Lin Dan bercakap dalam bahasa Melayu ketika lawatannya ke Malaysia baru-baru ini.

Lin Dan sebelum ini hadir ke Malaysia bagi menghadiri majlis yang diadakan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi meraikannya bersama Chong Wei selepas disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi tahun 2023.

Dalam satu video berdurasi 42 saat yang dikongsikan Ching Wei di akaun TikToknya, Chong Wei dilihat mengajar bekas pemain China itu untuk bertutur beberapa perkataan Melayu yang biasa digunakan dalam perbualan harian.

Dalam perkongsian itu, Chong Wei memulakan kelas bahasa melayunya itu dengan perkataan 'apa khabar' sebelum Lin Dan mengulangi semula ayat itu sambil melambaikan tangannya ke arah kamera.

Selepas itu, Chong Wei kemudian mengajar perkataan 'terima kasih' selain ayat 'aku cinta kamu' dimana Lin Dan menyebut ayat-ayat berkenaan dengan lancar.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memuji kefasihan Lin Dan yang bercakap dalam bahasa Melayu serta mengagumi hubungan baik kedua-dua atlet berkenaan.

Malah video itu turut mendapat perhatian beberapa bekas pemain badminton negara seperti Hafiz Hashim dan Tan Boon Heong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 3:20 PM