Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih beregu negara Jeremy Gan berterima kasih kepada Datuk Lee Chong Wei kerana bekas pemain nombor satu dunia itu sanggup mencurahkan ilmunya apabila menjalani latihan bersama gandingan beregu negara Tan Wee Kiong-Goh V Shem.

Chong Wei dilihat bergandingan dengan Tan Boon Heong menentang Wee Kiong-V Shem pada sesi latihan semalam sebagai sebahagian daripada persiapan untuk Kejohanan Seluruh England yang dijadual berlangsung pada 3 hingga 8 Mac.

Menariknya, gandingan Chong Wei-Boon Heong mencatat kemenangan straight set 21-18, 21-18.

“Chong Wei sememangnya berada pada satu tahap lebih tinggi. Dia bukan saja boleh bermain perseorangan, malah dapat beraksi dengan baik dalam beregu dan campuran.

“Bagi saya, perlawanan ini bagus untuk Wee Kiong dan V Shem sebab mereka sememangnya memerlukan gandingan pelatih kuat dan itulah yang dipamerkan Chong Wei dan Boon Heong.

“Terima kasih kepada Chong Wei sebab sanggup berlatih bersama-sama pasukan beregu kita selepas baru saja habis sesi latihan perseorangan.

“Saya nampak memang dia bermain sebaik mungkin tadi (semalam). Tahap disiplin Chong Wei memang amat bagus,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Jeremy berharap, Chong Wei dapat terus mencurahkan ilmu ke atas beregu negara.

“Tapi tak bolehlah terlalu kerap kerana dia juga mempunyai jadual latihannya sendiri,” katanya.

Chong Wei ketika ini sedang menunggu tarikh Jawatankuasa Panel Sebutan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk dibicarakan berhubung kes doping.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 7:20 AM