JAMES Selvaraj menekankan bahawa Taufik tidak boleh mengajukan pertanyaan secara langsung kepada BWF yang tidak memilihnya. FOTO OWEE AH CHUN
JAMES Selvaraj menekankan bahawa Taufik tidak boleh mengajukan pertanyaan secara langsung kepada BWF yang tidak memilihnya. FOTO OWEE AH CHUN
Wan Izzati Amir


Kuala Lumpur: "Taufik tidak perlu merasa tidak puas hati terhadap Chong Wei kerana pemilihan tersebut bukanlah permintaan daripadanya tetapi dipilih sendiri oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF)," ujar bekas pemain dan jurulatih, Datuk James Selvaraj.

Bekas pemain legenda badminton negara itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Taufik Hidayat yang mempersoalkan kelayakan Datuk Lee Chong Wei yang disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) baru-baru ini.

"Jika Taufik tidak berpuas hati dia perlu menyatakan kepada Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) agar boleh bertanya kepada BWF sendiri.

"Sudah tentu BWF mempunyai kriteria tertentu untuk memilih kedua pemain itu dan dia tidak patut mempersoalkan pemilihan itu dan marah kepada Chong Wei.

"Tidak dinafikan Taufik juga adalah jaguh badminton semasa zaman kegemilangannya sudah tentu dia juga berhak dipilih tetapi keputusan tetap dibuat oleh BWF," katanya.

James juga menekankan bahawa Taufik tidak boleh mengajukan pertanyaan secara langsung kepada BWF yang tidak memilihnya, tetapi sebaliknya, PBSI boleh bertanya kepada BWF sendiri mengenai alasan memilih kedua pemain itu tanpa membabitkan Taufik.

Sebelum ini legenda badminton Malaysia, Chong Wei dan pemain, China, Lin Dan dimasyhurkan dalam Dewan Kemasyhuran BWF atas kejayaan dan sumbangan mereka terhadap sukan badminton.

Namun tular satu video Taufik yang mempersoalkan kelayakan Chong Wei yang disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran BWF bagi 2023 dan menganggap ada unsur pilih kasih atas pemilihan itu.

Kata-kata pemain jelas menimbulkan pelbagai reaksi kesal dan marah rakyat Malaysia yang menganggap pemain itu tidak menghormati Chong Wei yang juga legenda badminton negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 10:04 PM