CHONG  Wei (kiri) dan Lin Dan mendapat pengiktirafan BWF.
CHONG Wei (kiri) dan Lin Dan mendapat pengiktirafan BWF.
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini menjelaskan pemilihannya yang menyenaraikan legenda badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei dan bekas seteru utama, Lin Dan dari China dalam Dewan Kemasyhuran badan induk itu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, keputusan untuk menyenaraikan Chong Wei dan Lin Dan dibuat selepas kedua-dua mereka menepati kriteria yang ditetapkan.

"Setelah mendapat cadangan daripada Suruhanjaya Anugerah BWF, Majlis meluluskan pencalonan Lin Dan dan Lee Chong Wei untuk disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran mengikut kriteria pemilihan ditetapkan.

"Kedua-duanya penerima yang layak mendapat penghargaan ini kerana sumbangan cemerlang mereka kepada sukan badminton di luar gelanggang dalam tempoh masa signifikan.

"BWF mengiktiraf pencapaian dan sumbangan banyak legenda sukan ini dan berharap dapat memasukkan lebih banyak juara ke dalam Dewan Kemasyhuran BWF dalam tahun-tahun mendatang,"kata BWF dalam satu kenyataan hari ini.

Chong Wei, 41, dan legenda badminton China, Lin Dan sebelum ini dimasyhurkan dalam Dewan Kemasyhuran BWF di atas kejayaan dan sumbangan mereka terhadap sukan badminton, dengan muncul sebagai pemain perseorangan lelaki paling dominan ketika era kegemilangan mereka.

Bagaimanapun, penyenaraian Chong Wei dalam Dewan Kemasyhuran BWF menimbulkan rasa kurang senang legenda badminton Indonesia, Taufik Hidayat selepas tular video menunjukkan dia mempersoalkan kelayakan bekas pemain nombor satu negara itu.

Taufik mengakui Lin Dan lebih layak mendapat pengiktirafan, namun beliau mempersoalkan kewujudan nama Chong Wei dalam senarai itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 5:55 PM