CHONG Wei (kiri) bersama Lin Dan disenarai dalam Dewan Kemasyhuran BWF. FOTO ARKIB NSTP
CHONG Wei (kiri) bersama Lin Dan disenarai dalam Dewan Kemasyhuran BWF. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Legenda badminton, Datuk Lee Chong Wei (Malaysia) dan Lin Dan (China) dipilih untuk disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi 2023.

Menurut BWF dalam satu kenyataan, satu majlis akan diadakan pada 26 Mei depan bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Kedua-dua pemain itu mendominasi arena badminton perseorangan lelaki pada era generasi mereka.

Selepas memulakan karier senior peringkat antarabangsa pada awal 2000, Chong Wei dan Lin Dan terus mengorak langkah menguasai sukan itu sehingga masing-masing bersara pada 2019 dan 2020.

"Dominasi mereka diukur berdasarkan pencapaian beraksi keseluruhan sebanyak lima kali di final Olimpik dan 10 kali Kejohanan Dunia.

"Chong Wei dan Lin Dan turut mencatatkan beberapa rekod sepanjang karier mereka. Chong Wei merangkul 47 gelaran Siri Super/Jelajah Dunia dan menjadi pemain nombor satu dunia selama 349 minggu.

"Lin Dan pula unggul ketika beraksi di kejohanan utama selepas merangkul dua gelaran Olimpik dan lima Kejohanan Dunia," kata BWF.

Mereka turut menjadi tonggak penting untuk membantu negara masing-masing ketika terbabit dalam kejohanan berpasukan.

Presiden BWF, Poul-Erik Høyer memuji kedua-dua pemain itu atas impak terhadap permainan badminton selain kejayaan di kejohanan yang disertai.

"Chong Wei dan Lin Dan adalah antara duta terulung badminton sepanjang sebahagian besar dua dekad lalu.

"Menerusi persembahan cemerlang, mereka menarik seluruh generasi peminat ke sukan ini. Mereka berdua sangat layak untuk dilantik ke dalam Dewan Kemasyhuran."

Majlis Dewan Kemasyhuran BWF akan disiarkan secara langsung di TV BWF mulai jam 7 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 6:45 PM