YUSOFF akui FAM perlu menggandakan usaha bagi memenuhi harapan masyarakat terhadap pasukan kebangsaan. FOTO MOHD AMIN JALIL
YUSOFF akui FAM perlu menggandakan usaha bagi memenuhi harapan masyarakat terhadap pasukan kebangsaan. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melihat secara positif setiap kritikan dan pandangan pelbagai pihak berhubung prestasi buruk Harimau Malaya B-23 di pentas Piala Asia B-23 2024.

Skuad Harimau Malaya B-23 negara itu gagal meraih sebarang mata dari Doha, Qatar dan menamatkan saingan di tangga tercorot Kumpulan D.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi menegaskan bahawa FAM terbuka menerima teguran namun dalam masa yang sama badan induk bola sepak negara itu akan berusaha memperbaikinya.

"Jika hendak kira sejak Datuk Hamidin Mohd Amin (Presiden FAM) mengambil alih jawatan, empat tahun lalu, kita sudah lihat peningkatan untuk pasukan kebangsaan itu.

"Harus sedar pencapaian kita sekarang ini bukan lagi di peringkat ASEAN tetapi Asia. Sebenarnya harapan masyarakat sudah terlalu tinggi terhadap pasukan bola sepak kebangsaan kita.

"Bila ada sesuatu kejohanan di peringkat antarabangsa, mereka akan cepat mengambil tahu apa lagi jika keputusan dicapai kurang baik dan gagal," katanya ketika ditemui selepas melancarkan Kejohanan Liga Komuniti Negeri Sembilan 2024, di Hotel Seri Malaysia, di sini, petang ini.

Yusoff berkata, pihaknya sedar akan impak yang diterima jika harapan yang tinggi itu tidak dapat dicapai.

Untuk itu beliau akui, FAM perlu menggandakan usaha bagi memenuhi harapan masyarakat yang tinggi terhadap pasukan kebangsaan.

"Walaupun perkara itu bukan mudah tetapi FAM kena melaksanakannya supaya pasukan kebangsaan dapat bersaing di pentas antarabangsa dengan baik dan berjaya.

"Pada saya, sikap masyarakat itu menunjukkan orang sayang kat kita (pasukan kebangsaan), prihatin dengan kita dan ini sesuatu yang harus dilihat secara positif oleh FAM," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM sedang menunggu laporan berkaitan prestasi pasukan B-23 di Qatar daripada Pengarah Teknikal, Scott O'Donell dan pengendali pasukan itu, Juan Torres Garrido.

"Mereka akan menyiapkan laporan itu secepat mungkin dan kita akan telitinya dengan baik serta akan mengambil tindakan yang perlu," katanya.

Berdasarkan prestasi di Piala Asia, wujud kebimbangan mengenai masa depan skuad kebangsaan kerana barisan pemain B-23 menjadi aset penting yang akan mengisi tempat dalam pasukan senior Harimau Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 8:20 PM