Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Ketiadaan Datuk Lee Chong Wei di kejohanan besar bukan saja dirasai pemain negara lain malah seteru utamanya, Lin Dan (gambar) selepas pemain nombor satu dunia itu menjalani penggantungan sementara Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akibat positif menggunakan bahan terlarang.

Lin Dan dan Chong Wei yang bermusuh di gelanggang, tetapi berkawan baik di luar, boleh dianggap seteru terhebat badminton alaf baru ini namun masing-masing masih mempunyai sifat setiakawan yang tinggi.

Lin Dan yang terkesan dengan ketiadaan Chong Wei berharap musuh nombor satunya itu segera kembali ke gelanggang kejohanan utama.

“Saya harap Chong Wei akan segera kembali,” kata pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 (London) itu kepada Agensi Berita Rasmi China, Xinhua semalam.

Pemain yang mendapat gelaran ‘Super Dan’ itu kini beraksi di Siri Super Premier Terbuka China 2014 di Fuzhou.

“Saya bersimpati terhadap isu doping yang kini menghantui Chong Wei. Bukan saja rakyat Malaysia amat memerlukan dia, tetapi seluruh dunia badminton,” kata pemain yang mara ke suku akhir Terbuka China itu selepas menumbangkan pilihan kedua dari Denmark, Jan O Jorgensen 19-21, 21-18, 21-15.

Selasa lalu, BWF mengesahkan Chong Wei dikenakan penggantungan sementara selepas dikesan positif menggunakan bahan terlarang dexamethasone di Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen.

Kedua-dua pemain itu bertemu sesama sendiri sebanyak 33 kali sejak 2004, dengan rekod milik Lin Dan 24-9.

Turut memberi reaksi adalah ketua jurulatih China Li Yongbo yang mengakui tidak percaya pemain berkenaan mempunyai niat untuk mengambil bahan terlarang mempertingkatkan prestasinya.

“Saya harap isu dadah Chong Wei ini tidak benar, kerana saya mahu terus melihat permusuhan  antara dia dan Lin Dan. Mereka selalu mempamerkan pertembungan hebat kepada peminat badminton,” katanya.

Keputusan penggantungan Chong Wei dijangka diketahui awal bulan depan apabila Panel Pendengaran Doping BWF bersidang.

Sementara itu, Chong Wei Feng gagal mengulangi pencapaian tahun lalu di kejohanan berkenaan apabila tumpas kepada pemain Jepun, Sho Sasaki 26-24, 21-23, 6-21 di pusingan kedua semalam dan gagal menempah pertemuan dengan Lin Dan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:10 AM