NG Tze Yong. -FOTO Ihsan BAM
NG Tze Yong. -FOTO Ihsan BAM

Ferzalfie Fauzi

[email protected]

Kuala Lumpur: Ada peningkatan, ujar legenda perseorangan lelaki negara, Datuk Rashid Sidek mengenai persembahan Ng Tze Yong walaupun pemain itu terkandas di pusingan kedua Terbuka Switzerland semalam.

Menurutnya, Tze Yong masih baru lagi untuk saingan besar kejohanan antarabangsa namun namun sedang cuba mempertingkatkan permainan terutama ketika berdepan pemain ternama.

"Kita nampak dia ada menunjukkan peningkatan, kalah pun dalam aksi yang diheret sehingga ke rubber set. Kita tidak boleh menjangkakan dia mampu memenangi perlawanan dengan pemain nama besar," katanya ketika ditemui di majlis perasmian Berjiwa Juara, Memori 92 di Hotel UiTM, Kampus Puncak Alam semalam.

Ujarnya, Tze Yong sekarang ini masih dalam proses pembelajaran dan menimba pengalaman terutama ketika berdepan pemain ternama di kejohanan antarabangsa.

"Biar dia belajar (dari kekalahan) itu lagi bagus. Timba pengalaman dan tingkatkan prestasi serta kemahiran sedikit demi sedikit.

"Saya tengok dia juga bagus untuk disandarkan bagi meraih mata jika kita beraksi dalam acara berpasukan seperti Piala Thomas. Dia memang pemain yang boleh kita harapkan," kata Rashid.

Tze Yong terkandas di pusingan kedua Terbuka Switzerland selepas tumpas 21-18, 13-21, 12-21 kepada pilihan keempat dari Indonesia, Jonatan Christie.

Sementara itu Tze Yong mengakui dia perlu memperbaiki lagi beberapa kelemahan terutama ketika berdepan pemain ternama.

"Saya rasa tenaga dia lebih dari saya, jadi saya perlu memperbaiki kelemahan itu," kata Tze Yong yang menduduki ranking nombor 46 dunia.

Tze Yong sebelum ini pernah kalah kepada pemain yang sama di suku akhir Piala Thomas tahun lalu 21-14, 19-21, 16-21 ketika Malaysia tumpas 0-3 kepada Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 2:18 PM