NG Tze Yong. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
NG Tze Yong. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan mengakui anak buahnya, Ng Tze Yong agak keliru dengan corak permainannya baru-baru ini sehingga menyebabkan tidak dapat beraksi baik di Eropah dan Indonesia.

Menurut pengendali kelahiran Indonesia itu selepas beberapa bulan menjalani latihan memperkuatkan fizikal, Tze Yong agak celaru dengan corak permainannya.

"Memang beberapa bulan selepas Sukan Komanwel, kita fokuskan dia kepada latihan untuk fokus kepada kekuatan di bahagian bawah, iaitu kaki kerana itu adalah asas penting," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Ujarnya, apabila fokus kepada kekuatan kaki, corak permainan Tze Yong mula lari dan tidak dapat merasai suasana permainan.

"Pada saingan di Masters Indonesia pula, dia bermain terlalu laju kerana berasa kakinya sangat ringan sedangkan bermain laju bukan corak permainannya.

"Tze Yong bukan seperti Lee Zii Jia yang mempunyai kekuatan smash. Jadi kita harap dengan menghantarnya ke Terbuka Australia, dia dapat mencari rentaknya semula," kata Hendrawan.

Katanya, jika di Indonesia, pergerakkan dan permainan Tze Yong terlalu pantas, aksinya di Terbuka Hylo, Jerman pula terlalu perlahan.

Tze Yong akan berakasi di Terbuka Australia yang bermula 15 hingga 20 November iaitu kejohanan berstatus Super 300.

"Kita hantar Tze Yong ke kejohanan 300 ini dalam usaha dia melonjakkan ranking sekurang-kurangnya 32 terbaik dunia menjelang tahun hadapan, supaya apabila memasuki tahun 2024, dia mendapat peluang untuk beraksi dalam kejohanan berstatus 750hingga 1,000," katanya.

Tambah beliau, Nama Tze Yong turut disenaraikan menyertai kejohanan Cabaran Antarabangsa Bahrain 29 November hingga 4 Disember, sebagai pelan kecemasan sekiranya dia tidak mendapat keputusan baik di Sydney.

Tze Yong yang muncul pemenang pingat perak perseorangan lelaki di Sukan Komanwel, dia kemudiannya terkandas di suku akhir Indonesia Masters, manakala di Terbuka Hylo, dia tersingkir seawal pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 4:55 PM