TZE YONG perlu tingkatkan tahap kecergasan. -FOTO NSTP
TZE YONG perlu tingkatkan tahap kecergasan. -FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Dua kejohanan terakhir yang bakal dilalui iaitu Masters Jepun dan Masters China sangat penting buat pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong bagi mengesahkan tempat ke Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) dan Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan memang Tze Yong perlu menyertai banyak kejohanan kerana bukan sahaja perlu menempatkan diri di kejohanan hujung musim itu malah perlu melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Sekarang sasaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Rexy Mainaky (Pengarah Kejurulatihan) dan semua orang mahu melihat kita ada dua wakil ke Olimpik, jadi dia perlu berada dalam kedudukan 16 terbaik dunia," katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Ujar Hendrawan, buat masa ini beliau masih belum boleh rasa gembira dengan anak buahnya itu walaupun sudah mara ke suku akhir, separuh akhir dan final sejak kebelakangan ini.

"Belum boleh saya kata sudah gembira dengan keputusannya kalau boleh mahu dia jadi juara, walaupun dia banyak melakukan kejutan dan mara ke suku akhir, separuh akhir. Adakalanya seseorang pemain itu perlu bergelar juara.

"Ada sesuatu perkara yang susah perlu diperbaiki Tze Yong iaitu dari segi kecergasan dan fizikal ia masih kurang. Biasanya untuk membuatkan seseorang pemain itu mempunyai kekuatan berkenaan ia perlu mengambil masa.

"Bagaimanapun dalam masa sama kita juga sedang mengejar masa (layak ke Olimpik)," kata jurulatih kelahiran Indonesia itu.

Tambahnya, disebabkan standard yang ada pada Tze Yong sekarang, mahu tidak mahu Hendrawan perlu memastikan anak buahnya itu mengikuti segala kejohanan walaupun ada yang tidak berada dalam perancangan seperti Terbuka Hylo baru-baru ini.

Tze Yong yang sekarang ini berada di ranking ke-15 dunia dijadualkan beraksi di pusingan pertama Masters Jepun esok dengan berdepan wakil Taiwan, Wang Tzu Wei.

Sementara itu, seorang lagi perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao gagal mara ke pusingan pertama selepas selepas terkandas di peringkat kelayakan apabila tumpas wakil tuan rumah kepada Takuma Obayashi, 21-23, 16-21.

Turut beraksi esok ialah perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia yang dijadualkan berdepan pemain Denmark, Anders Antonsen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 1:21 PM