TZE Yong terlepas peluang ke suku akhir. FOTO AFP
TZE Yong terlepas peluang ke suku akhir. FOTO AFP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Perasaan gementar dikatakan punca utama pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong terlepas peluang untuk mara ke suku akhir Terbuka China walaupun pada satu ketika dia hanya perlukan satu mata bagi menamatkan aksi pusingan kedua selaku pemenang.

Pemain ranking ke-22 dunia itu mengakui kekalahan berkenaan menjadi pengajaran berguna buat dirinya dan akan melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah dihadapinya.

"Saya fikir saya belum boleh untuk mengatasi masalah ini apabila mendahului perlawanan. Ini sesuatu yang saya perlu atasi.

"Mungkin saya sangat gementar dan terlalu mahukan kemenangan. Apa pun, ia menjadi pengalaman dan pengajaran berguna buat saya," kata Tze Yong kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.

Tze Yong yang turun menentang pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito di pusingan kedua yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik di Changzhou, hari ini bermula baik apabila menang set pertama 21-18 sebelum tewas 11-21 di set kedua.

Aksi set ketiga perlawanan menyaksikan dia berjaya mendahului lawannya 20-17 tetapi disebabkan perasaan gementar dialaminya, dia gagal bertahan sekali gus terpaksa akur tewas 20-22.

Kekalahan Tze Yong menyaksikan berakhirnya perjuangan wakil Malaysia dalam acara perseorangan lelaki selepas pemain profesional, Lee Zii Jia terkandas di pusingan pertama semalam.

Zii Jia terpaksa akur tewas di tangan naib juara dunia dari Jepun, Kodai Naraoka 24-26, 21-12, 11-21.

Kedua-dua pemain perseorangan lelaki negara itu selepas ini akan memberi tumpuan mereka bagi menghadapi saingan Terbuka Hong Kong yang akan berlangsung dari 12 hingga 17 September ini.

Tze Yong akan membuka tirai kempen di Hong Kong menentang jaguh Taiwan, Chou Tien Chen manakala Zii Jia dijadual bertemu pemain China, Zhao Jun Peng.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 6:23 PM