NG Tze Yong. FOTO Owee Ah Chun
NG Tze Yong. FOTO Owee Ah Chun
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas merangkul kejuaraan ketiga tahun ini di Terbuka Scotland semalam, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dilihat masih belum puas dan cuba untuk memburu trofi keempat di Cabaran Antarabangsa Wales yang akan bermula Rabu ini.

Tze Yong tidak berdepan masalah untuk menumbangkan rakan senegara yang bergerak secara profesional, Soong Joo Ven 21-18, 21-14 di Arena Emirates, semalam.

Walaupun berjaya mencatat kemenangan straight set dan beraksi tidak sampai sejam, pemain berusia 21 tahun itu mengakui agak sukar untuk mengetepikan bekas rakan sepelatihnya.

"Perlawanan semalam memang agak sukar kerana kedua-dua kami sudah mengetahui corak permainan masing-masing. Dulu kami pernah berlatih bersama dalam tempoh setahun," kata pemain kelahiran Johor itu.

Ujarnya, disebabkan mereka berdua sudah mengetahui corak permainan antara satu sama lain kemenangan hanya dapat dijelmakan melalui siapa yang dapat memberikan persembahan terbaik.

"Jadi selepas ini saya cuba untuk mendapatkan satu lagi kejuaraan tahun ini di Wales," katanya yang sebelum ini berjaya muncul juara di Cabaran Antarabangsa Belgium dan Terbuka Poland.

Tze Yong yang turut muncul naib juara di Terbuka Czech tahun ini akan memulakan aksi di Wales dengan berdepan wakil India, Subhankar Dey pada pusingan pertama.

Sementara itu, hasrat beregu lelaki negara yang terkenal dengan gelaran 'Patatimo' Wan Arif Wan Junaidi-Mohd Haikal Nazri untuk mengikut jejak Tze Yong semalam tidak kesampaian apabila mereka tumpas kepada wakil tuan rumah yang juga pilihan kelapan, Christopher Grimley-Matthew Grimley 20-22, 16-21.

Nasib yang sama turut dilalui beregu wanita wanita, Anna Ching-Teoh Mei Xing apabila tumpas kepada pilihan utama dari Kanada, Rachel Honderich-Kristen Tsai, 14-21, 12-21.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 12:05 PM