MOHAMED Salah (kiri) dikekang pemain pertahanan Newcastle United, Jamaal Lascelles pada aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi. - FOTO AFP
MOHAMED Salah (kiri) dikekang pemain pertahanan Newcastle United, Jamaal Lascelles pada aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi. - FOTO AFP
AFP

MOHAMED Salah dan Sadio Mane memacu Liverpool ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 2-0 ke atas Newcastle.

Salah membuka jaringan pada minit ke-40 di Anfield untuk mengekalkan rentak cemerlangnya pada musim pertama bersama Liverpool selepas berpindah dari Roma.

Pemain saya Mesir itu mengutip hantaran Alex Oxlade-Chamberlain dan menewaskan Martin Dubravka untuk gol ke-32nya musim ini dan kelapan dalam tujuh penampilan terakhir.

Liverpool menguasai permainan 10 minit selepas rehat apabila Roberto Firmino memecah benteng Newcastle dan membuat umpanan kepada pemain sayap Senegal, Mane yang meledak gol ke-14 dirinya musim ini.

Kemenangan keempat dalam lima perlawanan terakhir liga meletakkan skuad kendalian Jurgen Klopp satu mata di atas Manchester United, yang tercicir ke tangga ketiga tetapi mampu merampas kembali tangga kedua sekiranya menang di Crystal Palace esok.

Pendahulu Manchester City mempunyai kelebihan 15 mata ke atas Liverpool dan akan melayan kunjungan Chelsea malam ini.

Newcastle dua mata di atas zon penyingkiran selepas kekalahan pertama dalam lima perlawanan itu.

“Ia perlawanan yang sukar, kami sudah menjangkakannya dan ia dirasai ketika perlawanan,” kata Klopp kepada BT Sport.

“Saya rasa pemain-pemain menanganinya dengan bijak dan melakukan apa yang perlu dilakukan, Mo Salah pemain tengah yang sering membantu serangan, lebih kepada penyerang berbanding perancang. Dia mempunyai keazaman untuk menjaringkan gol.”

Sementara itu pengendali Newcastle Rafael Benitez, bekas pengendali Liverpool, berkata skuadnya terpaksa membayar harga tinggi di atas kesilapan sendiri.

“Kami cukup baik sepanjang 40 minit dan cuba mengawal mereka tetapi perlu lebih kreatif ketika serangan balas,” kata Benitez. “Kami melakukan kesilapan di babak pertama dan dibolosi, silap lagi di babak kedua dan dibolosi.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 8:28 AM