JURGEN Klopp. FOTO Reuters
JURGEN Klopp. FOTO Reuters
AFP

Newcastle: Liverpool berhasrat menamatkan kempen September yang mengecewakan dengan nada positif apabila mereka kembali bersatu dengan bekas pengurus Rafa Benitez di Newcastle malam ini.

Benitez kekal sebagai tokoh disegani di Anfield, selepas membawa Liverpool menjulang gelaran Liga Juara-Juara dengan menewaskan AC Milan pada 2003, menjadikannya malam paling diingati kelab yang hanya menang dua trofi selepas itu.

Percubaan Jurgen Klopp mengembalikan detik gemilang masih belum menjadi kenyataan dengan Liverpool terus kelihatan garang di barisan pertahanan namun tumpul di bahagian pertahanan.

Ia digambarkan dengan sempurna menerusi kemenangan 3-2 ke atas Leicester Sabtu lalu apabila pasukan Klopp dua kali mendahului namiun akhirnya menang hasil kejayaan penjaga gol Simon Mignolet menyelamatkan penalti daripada Jamie Vardy.

Klopp membalasnya dengan menurunkan keempat-empat penyerang utamanya dari awal buat pertama kali ketika berdepan Spartak Moscow dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi Rabu lalu.

Namun buat kali pertama, penyerang Liverpool gagal menghasilkan impak apabila Philippe Coutinho menjaringkan gol tetapi Sadio Mane, Mohamed Salah dan Roberto Firmino sebaliknya tersasar, begitu juga dengan Daniel Sturridge yang turun sebagai pemain gantian.

Keputusan seri itu bermakna Liverpool hanya menang sekali daripada enam perlawanan pada September malah tersingkir dari Piala Liga.

Bagaimanapun mereka masih berada di tangga kelima Liga Perdana sebelum perlawanan ini, lima mata ketinggalan berbanding pendahulu.

“Peningkatan terbesar dalam pasukan ketika ini setakai ini adalah kami banyak mencipta peluang,” kata Klopp.

“Kami mengadakan banyak perbincangan dalam tempoh dua tahun mengenai perlawanan menentang pasukan yang hanya bertahan dan kami tidak mencipta banyak peluang.

“Perkara itu sudah berubah. Kami sudah melakukan peningkatan besar. Setakat ini ia masih belum membawa kepada keputusan yang kami mahu tetapi anda tidak boleh mencipta lebih peluang dalam masa singkat.”

Klopp tidak sabar menanti pertemuan dengan Benitez apabila berkata: “Saya bertemu Rafa sekali ketika beliau masih pengurus Liverpool, kami menewaskan beliau 5-0 bersama Mainz. Saya harap beliau masih ingat.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 3:53 AM