SALAH (kiri), Mane (tengah) dan Firmino mendapat pujian daripada Klopp. FOTO Agensi
SALAH (kiri), Mane (tengah) dan Firmino mendapat pujian daripada Klopp. FOTO Agensi
Agensi

PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp mengakui sangat terhutang budi dengan peledak gol kelab itu, Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino.

Gabungan trio juara Liga Perdana itu sudah meledak 250 gol sepanjang di bawah bimbingan Klopp dengan terbaharu Salah menjaringkan dua gol ketika mencatat kemenangan 3-1 ke atas Brighton.

Salah yang juga penjaring terbanyak Reds, sudah menjaringkan 94 gol manakala Mane dan Firmino masing-masing mencetak 79 dan 77 gol.

Klopp berjaya membantu kelab Merseyside itu meraih kejuaraan liga buat kali pertama selepas 30 tahun iaitu setahun selepas memenangi Liga Juara-Juara musim lalu.

Pengendali dari Jerman itu mengakui ketiga-tiga pemain itu memainkan peranan penting kepada kejayaannya di Anfield.

"250 gol sangat luar biasa. Bayangkan di mana saya jika mereka ini tidak beraksi di bawah kendalian saya," katanya.

Liverpool terus berada di landasan tepat untuk memecahkan rekod mata di Liga Perdana.

Kelab itu memerlukan sembilan mata lagi daripada perlawanan bertemu Burnley, Arsenal, Chelsea dan Newcastle untuk mengatasi rekod 100 mata dilakukan Manchester City dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 10:30 PM