PEMAIN Newcastle meraikan gol kemenangan. FOTO/AGENSI
PEMAIN Newcastle meraikan gol kemenangan. FOTO/AGENSI
Agensi

LONDON: Newcastle United terus menjauhkan diri dari zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan ketiga berturut-turut, dan kemenangan pertama di Turf Moor dalam tempoh 42 tahun selepas menewaskan Burnley 2-1 pagi tadi.

Rembatan minit keempat Federico Fernandez yang terkena Ben Mee meletakkan Newcastle kendalian Rafael Benitez di depan, sebelum menggandakan jaringan menerusi Ciaran Clark pada minit ke-23.

Burnley merapatkan jurang hasil tandukan Sam Vokes lima minit sebelum rehat namun gagal mencari gol penyamaan.

Newcastle berpeluang menambah jaringan menerusi Matt Ritchie yang menerima hantaran Joselu, tetapi gagal disempurnakan.

Kali terakhir Newcastle menang di Turf Moor ialah pada Disember 1975.

Kemenangan kali ini melonjak Newcastle ke tangga ke-13 liga, empat mata di atas kelompok tiga terakhir, manakala Burnley hanya satu mata di atas garis penyingkiran.

“Perkara paling penting ialah usaha pemain,” kata Benitez. “Kami kekal dengan strategi permainan. Kami diasak sedikit di akhir permainan, tetapi kami juga berpeluang meledak gol ketiga.”

Sementara itu pengendali Burnley, Sean Dyche berkata pasukannya tidak bernasib kerana dibolosi gol sendiri dan satu jaringan mudah.

“Daripada segi keseimbangan kami seharusnya mendapat sesuatu tetapi apabila anda memberikan gol sebegitu, ia sukar apabila ketinggalan dua gol di Liga Perdana,” kata Dyche.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 3:02 PM