KLOPP (kanan) mengakui bahawa mereka sudah melakukan banyak perubahan besar. FOTO EPA
KLOPP (kanan) mengakui bahawa mereka sudah melakukan banyak perubahan besar. FOTO EPA
AFP

Liverpool: Kemenangan Liverpool 4-1 ke atas Everton dalam aksi tetangga Merseyside adalah pencapaian paling cemerlang Jurgen Klopp di Goodison Park sejak mengambil alih pasukan berkenaan.

"Sudah tentu ia adalah persembahan terbaik di Goodison Park sejak saya tiba di Liverpool. Kami pernah melalui aksi terbaik di sini namun tidak berjaya mempamerkan permainan meyakinkan seperti hari ini.

"Malam ini kami menunjukkan bahawa kami melakukan perubahan besar dalam aspek pembangunan. Ini adalah penanda aras yang harus kami capai jika bermain perlawanan seperti ini," kata Klopp.

Mohamed Salah menjaringkan dua gol buat Liverpool untuk memalukan bekas pengurus mereka, Rafael Benitez.

The Reds hanya mencatat sekali kemenangan dalam sembilan kunjungan ke Goodison Park sebelum ini namun dalam perlawanan sebentar tadi mereka berjaya menguasai permainan sejak wisel permulaan.

Jaringan Jordan Henderson dan Salah selepas 20 minit perlawanan berlangsung menyaksikan Everton berada dalam keadaan tertekan.

Bagaimanapun, mereka berjaya merapatkan jurang melalui gol Demarai Gray sebelum aksi separuh masa pertama tamat.

Salah menambah gol buat Liverpool selepas sejam perlawanan berlangsung untuk gol yang ke-19 dalam 19 perlawanan liga sebelum Diogo Jota mengesahkan kemenangan pasukan pelawat melalui jaringan keempat The Reds, 12 minit menuju masa penamat.

"Saya rasa siapa yang melihat perlawanan ini dapat menyaksikan kami melakukan banyak kesilapan dan apabila anda berbuat demikian menentang pasukan terbaik anda akan menerima padahnya," kata Benitez.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 8:24 AM