AMIN (kanan) menggantikan Chiow Chuan selaku penolong jurulatih skuad hoki lelaki negara.
AMIN (kanan) menggantikan Chiow Chuan selaku penolong jurulatih skuad hoki lelaki negara.
Saiful Affendy Sapran


PENGERUSI Jawatankuasa Kejurulatihan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Soon Mustafa Karim mengesahkan bekas pakar pukulan sudut penalti negara, Muhamad Amin Rahim akan menggantikan tempat Lim Chiow Chuan selaku penolong jurulatih skuad hoki lelaki negara.

Jelas Soon, pemilihan Amin selaku penolong kepada Stephen Van Huizen dipersetujui sebulat suara pada mesyuarat Lembaga Eksekutif MHC, Sabtu lalu dan beliau bakal memulakan tugasnya dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, Soon berkata, ketika ini pihaknya masih belum memutuskan bentuk kontrak yang akan ditawarkan kepada Amin.

“Kebiasaannya, kontrak adalah setahun atau dua tetapi kita akan meneliti dulu perkara ini. Langkah menggantikan Chiow Chuan dengan Amin adalah untuk memberikan nafas baru kepada skuad kebangsaan.

“Amin adalah seorang jurulatih muda dan diharap beliau mampu menyumbang idea untuk menambah baik skuad kebangsaan.

“Ketika ini, Amin menggalas tugas selaku jurulatih Selangor untuk saingan Piala Razak. Beliau akan memulakan tugas secepat mungkin selepas itu,” katanya ketika dihubungi.

Soon juga menegaskan tiada sebarang isu dalam soal MHC tidak menyambung kontrak Chiow Chuan yang sudah berkhidmat bersama skuad negara selama dua tahun.

“Hanya ini saja struktur kejurulatihan yang bertukar manakala jurulatih yang lain kekal menyambung tugas masing-masing.

 AMIN (kanan) diharap mampu beri sentuhan segar kepada Malaysian Tigers.
AMIN (kanan) diharap mampu beri sentuhan segar kepada Malaysian Tigers.

“Seperti saya katakan tadi, skuad kebangsaan memerlukan suntikan idea baru dan keutamaan pada tahun depan adalah untuk Sukan Asia. Jadi MHC berpendapat peluang wajar diberikan kepada jurulatih muda seperti Amin,” katanya.

Amin memulakan bidang kejurulatihan dengan menjadi penolong jurulatih skuad bawah 21 tahun atau lebih dikenali Projek 2016 kendalian Arul Selvaraj.

Kemudian beliau diberi tanggungjawab menjadi jurulatih skuad dalam dewan lelaki negara yang meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), Ogos lalu.

Amin juga menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan ketika skuad negara muncul naib juara pada saingan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, bulan lalu.

Chiow Chuan menerusi laporan semalam mengesahkan kontraknya tidak disambung MHC. Beliau menjadi penolong jurulatih bermula Oktober 2015 sehingga September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 7:56 PM