Kuala Lumpur: Rekod cemerlang dimiliki Stephen Van Huizen menjadi faktor utama beliau dilantik kembali selaku ketua jurulatih skuad hoki negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan, Datuk Ow Soon Kooi berkata, Stephen antara jurulatih terbaik di negara ini dan pernah membantu Malaysia meraih beberapa kejayaan membanggakan.

“Jika imbas semula ketika 2000 lalu, Van Huizen adalah satu-satunya jurulatih yang pernah membawa Malaysia layak ke pusingan akhir Sukan Olimpik di Sydney, Australia selain pingat perak Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

“Beliau diberikan kontrak selama dua tahun dan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) utama ialah pusingan kelayakan Piala Dunia 2018.

“Jika layak, mungkin kami akan melanjutkan dua tahun lagi khidmatnya untuk persiapan menjelang Sukan Olimpik 2020 di Tokyo,” katanya pada sidang media semalam.

Soon Kooi turut mengumumkan pelantikan Lim Chiow Chuan selaku penolong jurulatih skuad negara sementara bekas jurulatih, Tai Beng Hai diberi tanggungjawab selaku Pengarah Program Pembangunan Hoki.

Soon Kooi berkata, struktur kejurulatihan pasukan hoki wanita negara pula akan diputuskan selepas skuad remaja wanita kembali ke tanah air nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 7:38 AM