GOBINATHAN ketika ini menjawat tugas sebagai penolong jurulatih skuad hoki wanita. Foto fail
GOBINATHAN ketika ini menjawat tugas sebagai penolong jurulatih skuad hoki wanita. Foto fail
Naqib Nor Said


KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC), hari ini membuat rombakan kecil terhadap barisan kejurulatihan negara ketika masa depan penolong jurulatih skuad hoki wanita, Iman Gobinathan masih menjadi tanda tanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan MHC, Soon Mustafa, berkata antara rombakan yang dilakukan ialah membawa masuk Mohd Hanafi Hassan bagi menggantikan jurulatih penjaga gol pembangunan, M Nadarajah yang kontraknya tidak disambung selepas berakhir hujung bulan lalu.

“Hanya kontrak Lim Chiow Chuan dan M Nadarajah yang tidak sambung dengan kita memilih memberi peluang kepada Mohd Amin Rahim dan Hanafi.

“Amin seperti kita sedia maklum masuk menggantikan Lim sebagai penolong jurulatih skuad lelaki manakala Hanafi mengisi kekosongan jawatan sebagai jurulatih penjaga gol pembangunan yang ditinggalkan Nadarajah.

“Bagi jurulatih lain, kita tawarkan lanjutan kontrak selama setahun kecuali Iman Gobinathan yang belum kita putuskan lagi,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Hanafi adalah bekas penjaga gol negara antara tahun 2004 hingga 2007, namun namanya jarang terpilih ke kejohanan utama kerana berada di belakang S Kumar dan Khairul Nizam Ibrahim.

Selain itu, dia yang kini berusia 35 tahun berpengalaman beraksi bersama pasukan Maybank sebelum ini dengan penampilan terakhirnya bersama Melaka pada saingan Piala Razak 2017.

Sementara itu, timbul tanda tanya mengenai masa depan Iman Gobinathan apabila hanya tinggal kontrak penolong jurulatih Malaysian Tigress itu saja yang masih belum diputuskan.

Namun, Soon mempertahankan keputusan MHC itu dengan menegaskan pihaknya memilih untuk melengahkan lanjutan kontrak buat bekas pengendali skuad hoki wanita dalam dewan negara itu kerana tempoh perkhidmatannya hanya akan tamat pada 31 Januari ini.

“Kita hanya akan putuskan dalam tempoh terdekat sebab kami belum putuskan sama ada mahu mengekalkan Iman Gobinathan sebagai penolong kepada Dhaarma Raj Abdullah atau memberi tugasan baru sebagai jurulatih pembangunan.

“Apapun, ia bergantung laporan indeks petunjuk prestasi (KPI) yang akan dikemukakan pengarah teknikal MHC (Terry Walsh) dalam perbincangan antara kami nanti.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 7:16 PM