SUHAIMI (kanan) dan Ahmad Kamal menunjukkan sotong yang diperoleh ketika keluar ke laut melakukan aktiviti mencandat. FOTO Nazdy Harun
SUHAIMI (kanan) dan Ahmad Kamal menunjukkan sotong yang diperoleh ketika keluar ke laut melakukan aktiviti mencandat. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun


Kuala Nerus: Bulan April hingga Oktober merupakan bulan yang dinanti-nanti pemburu 'si tulang lembut' kerana jumlah dan hasil tangkapan dijangka lumayan.

Khalid Hashim, 40, dari Kampung Baru Seberang Takir, dekat sini berkata, dia mengfokuskan hanya untuk menjalankan aktiviti mencandat sotong, April hingga Oktober ini.

"Alhamdulillah, musim sotong sekiranya ada rezeki saya mampu memperoleh pendapatan antara RM200 hingga RM1,200 sehari bergantung kepada hasil tangkapan sotong.

"Kerja sebagai nelayan pendapatan bergantung kepada hasil yang diperoleh, sehari kalau tidak ada tangkapan pun pernah berlaku... lebih 100 kilogram (kg) hasil yang diperoleh pun ada," katanya yang bekerja sebagai nelayan sejak berusia 11 tahun.

Menurutnya, dia pernah dua hari tidak pulang kerana berkampung di 'kandang sotong' (tempat yang mempunyai banyak sotong).

Katanya, jarak sejauh lapan hingga 15 batu nautika sudah memadai untuk mencari lubuk sotong dan hasil yang diperoleh dijual antara RM25 hingga RM28 sekilogram.

Sementara itu, Suhaimi Sharifudin, 47, dari Kampung Seberang Takir, berkata, April merupakan pembuka tirai bagi aktiviti mencandat sotong di negeri ini.

"Hasil tidak menentu antara 20kg hingga 90kg mampu diperoleh dan harga pula bergantung kepada pemborong antara RM27 hingga RM29 sekilogram," katanya.

Bagi Ahmad Kamal Hashim, 38, musim mencandat merupakan lubuk rezeki bagi nelayan selain menyewakan bot kepada kaki pancing yang ingin mencandat, mereka juga turun mencandat sekiranya bot tidak disewa.

"Saya bersama rakan akan ke laut pada 6 petang dan pulang pada 7 pagi dengan jarak perjalanan kira-kira 17 batu nautika untuk ke lokasi mencandat," katanya.

Menurutnya, musim sotong biasanya dia tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana walaupun sedikit hasil tangkapan sotong mampu di peroleh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 11:49 AM