AMIN akui masih mahu perlu pelajari banyak ilmu. FOTO/OSMAN ADNAN
AMIN akui masih mahu perlu pelajari banyak ilmu. FOTO/OSMAN ADNAN
Saiful Affendy Sapran


MUHAMAD Amin Rahim sedia menggalas tugas selaku penolong jurulatih skuad hoki lelaki negara sekiranya Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tampil dengan surat tawaran rasmi.

Bekas pakar pukulan sudut penalti negara itu enggan mengulas lanjut soal pelantikan berkenaan kerana menyifatkan beliau belum lagi berhak berbuat demikian.

“Lagipun sekarang saya sedang membimbing Selangor untuk saingan Piala Tun Razak. Jadi biarlah saya beri fokus kepada tugas ini terlebih dulu.

“Selebihnya, mengenai soal pelantikan sebagai penolong jurulatih skuad negara saya serahkan sepenuhnya kepada MHC. Ketika ini saya belum menerima sebarang tawaran rasmi,” katanya ketika dihubungi.

Jelas Amin, selaku bekas pemain negara dan kini beralih ke bidang kejurulatihan, sudah tentu beliau ada menanam cita-cita untuk berada dalam barisan staf kejurulatihan skuad kebangsaan.

“Saya masih baru dalam bidang kejurulatihan dan banyak lagi yang perlu saya pelajari,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Soon Mustafa Karim hari ini mengesahkan Amin akan menggantikan tempat Lim Chiow Chuan selaku penolong jurulatih skuad hoki lelaki negara.

Bagaimanapun jelas Soon, tawaran kontrak untuk Amin sedang diperhalusi.

MHC tidak menyambung kontrak Chiow Chuan selepas bekas pemain kebangsaan itu menggalas tugas penolong jurulatih selama dua tahun bermula Oktober 2015.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat Lembaga Eksekutif MHC yang berlangsung Sabtu lalu.

Amin memulakan bidang kejurulatihan dengan menjadi penolong jurulatih skuad bawah 21 tahun atau lebih dikenali Projek 2016 kendalian Arul Selvaraj pada 2014.

Beliau kemudiannya menjadi penolong jurulatih skuad pembangunan sebelum diberi tanggungjawab selaku ketua jurulatih skuad dalam dewan lelaki negara yang meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 11:14 PM