MANINDERJIT (kanan) yakin Amin mampu bantu skuad Van Huizen.
MANINDERJIT (kanan) yakin Amin mampu bantu skuad Van Huizen.
Saiful Affendy Sapran


PEMILIHAN Muhamad Amin Rahim selaku penolong jurulatih skuad hoki lelaki negara yang baharu bagi menggantikan Lim Chiow Chuan tidak akan memberi kesan besar kepada persiapan Malaysian Tigers bagi menghadapi tiga kejohanan utama tahun depan.

Bekas pemain negara, Maninderjit Singh berkata, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menerusi Jawatankuasa Kejurulatihan sudah tentu melakukan penilaian yang rapi sebelum mengambil keputusan itu.

“MHC pastinya sudah mendapatkan reaksi daripada ketua jurulatih (Stephen Van Huizen). Bagi saya keputusan ini dilakukan oleh MHC untuk mencapai sasaran mereka pada tahun depan.

“Harus diingat, pasukan akan melalui tiga kejohanan iaitu Sukan Komanwel, Asia serta Piala Dunia dan ia memerlukan komitmen tinggi daripada semua pihak,” katanya.

Jelas Maninderjit, meskipun Amin masih baru dalam bidang kejurulatihan, namun ia bukanlah satu isu yang besar.

“Beliau pernah membimbing skuad remaja dan mempunyai pengalaman yang luas selaku pemain.

“Lagipun, tanggungjawab pasukan terletak di tangan ketua jurulatih, bukan pembantunya,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan, Soon Mustafa Karim menerusi laporan semalam mengesahkan Amin yang juga bekas pakar pukulan sudut penalti negara akan menggantikan tempat Chiow Chuan yang tidak disambung kontraknya.

Amin dalam reaksi segera berkata, beliau akan menunggu tawaran rasmi daripada MHC terlebih dulu tetapi pada masa sama mengaku sedia menggalas tugas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 11:13 PM