GOBI (dua dari kiri) akan tamat kontrak  31 Januari ini. FOTO/FAIL
GOBI (dua dari kiri) akan tamat kontrak 31 Januari ini. FOTO/FAIL
Naqib Nor Said


PENOLONG jurulatih skuad hoki wanita negara, Iman Gobinathan menjadi ‘mangsa korban’ ketiga Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dalam tempoh dua bulan apabila badan induk itu memutuskan tidak menyambung kontraknya.

Perkara itu disahkan jurulatih berusia 40 tahun itu hari ini dan mengakui kecewa dengan penjelasan diberikan MHC yang dianggap tidak munasabah.

Jelas Iman yang mesra disapa sebagai Gobi lagi, keputusan itu diputuskan dalam satu pertemuan khas antaranya bersama pengerusi jawatankuasa kejurulatihan, Soon Mustafa dan pengarah teknikal, Terry Walsh petang semalam.

“Banyak sebab yang diberikan MHC tetapi saya tidak boleh dedahkan, tetapi apa yang pasti sebab dan alasan itu semua tidak munasabah di kepala saya.

“Cuma apa saya fikir saya lebih bagus daripada apa yang mereka fikirkan, masih muda sebagai jurulatih dan banyak lagi yang boleh sumbangkan kepada pasukan.

“Dalam minda saya, hanya satu agenda iaitu membangunkan hoki negara dan memastikan pasukan lelaki mahupun wanita layak ke Sukan Olimpik.

“Tetapi dengan tempoh setahun bersama skuad pembangunan wanita dan setahun kemudian ditempatkan pula bersama skuad wanita dalam dewan, tak banyak yang boleh saya lakukan untuk melakar pencapaian memberangsangkan,” katanya.

Gobi mula dilantik MHC sebagai pengendali skuad pembangunan wanita bermula awal 2016, namun dengan keputusan itu bermakna kontraknya bersama Malaysian Tigress bakal tamat pada 31 Januari ini.

Beliau muncul jurulatih terbaru tidak ditawarkan kontrak lanjutan selepas tindakan sama diputuskan MHC ke atas bekas penolong jurulatih skuad hoki lelaki, Lim Chiow Chuan dan M Nadarajah (jurulatih penjaga gol pembangunan negara).

Ia satu kerugian besar buat negara tatkala ketiga-tiga jurulatih ini memainkan watak penting di sebalik pencapaian hebat skuad Projek 2013 menyambar gelaran Piala Asia 2012 dan meraih tempat keempat Kejohanan Remaja Dunia 2013, sekalipun Chiow Chuan hanya memainkan peranan dari belakang tabir ketika itu.

Kini hanya tinggal ketua jurulatih Malaysian Tigress, Dhaarma Raj Abdullah muncul satu-satunya anggota skuad Projek 2013 yang masih bertahan ketika MHC lebih berminat mengekalkan majoriti ‘orang lama’ dalam barisan kejurulatihan kecuali Mohd Amin Rahim yang diberi tanggungjawab mengambil tempat Chiow Chuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 7:10 PM