AMIN (kanan) diharap dapat bantu skuad negara dengan pengalaman yang dimiliki. -Foto fail
AMIN (kanan) diharap dapat bantu skuad negara dengan pengalaman yang dimiliki. -Foto fail
Saiful Affendy Sapran


MUHAMAD Amin Rahim akan memulakan tugas selaku penolong ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara pada sesi latihan pertama 28 November ini selepas berakhirnya kempen Piala Asia dan Piala Razak.

Ketua jurulatih Malaysian Tigers, Stephen Van Huizen yang mengesahkan perkara itu berkata, bekas pakar pukulan sudut penalti negara itu diharap dapat membantunya berdasarkan pengalaman dimilikinya selama ini.

“Amin sudah pun berada dalam bidang kejurulatihan sebelum ini. Jadi pada akhirnya dia perlu melangkah satu tapak ke depan dengan memberi sumbangan berdasarkan kepakarannya.

“Kami semua akan bekerjasama sebagai satu pasukan untuk memastikan kejayaan dalam setiap saingan yang disertai,” katanya ketika dihubungi.

Van Huizen pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada bekas penolong jurulatihnya, Lim Chiow Chuan yang banyak membantunya selama dua tahun berada di dalam staf kejurulatihan bermula Oktober 2015.

“Sejak dua tahun lalu, saya, Chiow Chuan serta beberapa lagi barisan kejurulatihan dapat bekerjasama dengan baik. Hasil daripada kerjasama itu, pasukan negara meraih keputusan baik di dalam beberapa kejohanan. Bagi saya Chiow Chuan adalah seorang jurulatih yang bagus.

“Hanya kontraknya tidak disambung. Apapun sekarang kami perlu memandang ke depan,” katanya.

Kontrak Chiow Chuan yang berakhir September lalu tidak disambung Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) selepas mendapat persetujuan penuh mesyuarat Lembaga Eksekutif dua minggu lalu.

Amin berjaya membantu skuad hoki dalam dewan lelaki negara meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) sebelum diserap ke dalam staf kejurulatihan bagi menghadapi saingan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh bulan lalu yang menyaksikan Malaysia muncul naib juara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 9:26 PM