Antara jemaah haji menghadiri Kursus Perdana Haji Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan. FOTO BERNAMA
Antara jemaah haji menghadiri Kursus Perdana Haji Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan. FOTO BERNAMA
Suraya Roslan


Shah Alam: Seramai 31,600 bakal jemaah haji mengikuti Kursus Perdana Haji Musim 1445H/2024M anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) yang diadakan secara berperingkat di seluruh negara bermula 20 April hingga 5 Mei ini.

Kursus selama dua hari satu malam itu adalah kemuncak kursus haji sebagai persiapan terakhir bagi bakal jemaah haji terpilih pada musim ini sebelum berangkat ke Tanah Suci membabitkan aktiviti praktikal seperti tawaf, sa'ie, bermabit dan melontar.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Selangor yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Baginda turut bertitah mengingatkan bakal haji musim ini untuk sentiasa menjaga kesihatan serta keselamatan diri sepanjang berada di Tanah Suci.

Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titah Baginda juga memuji perkhidmatan dan prasarana bertaraf dunia yang disediakan oleh TH demi keselesaan jemaah haji negara sehingga menjadi contoh ikutan negara lain.

Baginda juga yakin TH bersedia menjaga kebajikan dan keselamatan semua jemaah haji Malaysia tahun ini.

"Haji adalah ibadat yang memerlukan kekuatan fizikal dan emosi. Semua jemaah haji perlu sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan pelbagai ujian serta cabaran seperti cuaca panas dan keadaan sesak.

"Oleh itu, persediaan dalam bentuk penjagaan kesihatan dan ilmu ibadat haji perlu diberikan penekanan supaya semua cabaran sepanjang menunaikan haji nanti dapat dilalui dengan sabar dan tenang," titah baginda lagi.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman selain barisan kepimpinan kerajaan negeri dan agensi.

Sementara itu, Mohd Naim berkata, pengisian dalam kursus perdana itu akan menzahirkan suasana sebenar di Tanah Suci sekali gus melatih bakal haji supaya bersedia menghadapi pelbagai situasi mencabar semasa kemuncak haji yang menghimpunkan hampir tiga juta orang jemaah dari serata dunia.

"Alhamdulillah, setiap tahun TH mendapati bakal haji yang menghadiri kursus haji lebih bersedia dan lebih mudah menyesuaikan diri semasa di Tanah Suci," katanya.

Seramai lebih 8,000 jemaah daripada seluruh Selangor menyertai Kursus Perdana Haji 2024 yang dianjurkan oleh TH dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di masjid itu.

Beberapa peringkat kursus dianjur oleh TH bermula dengan kursus asas, diikuti kursus intensif dan seterusnya disempurnakan dengan kursus perdana bagi bakal haji di seluruh negara.

Seiring dengan perkembangan pesat digitalisasi yang diperkenalkan oleh Kerajaan Arab Saudi berkaitan ibadat haji, TH turut mempergiatkan inisiatif perkhidmatan dalam talian untuk kemudahan jemaah haji mendapatkan maklumat terkini sepanjang berada di Tanah Suci seperti aplikasi THhujjaj, e-Bimbingan dan e-TAIB.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 12:08 PM