SDG menjadi platform pereka fesyen muda menonjolkan bakat.
SDG menjadi platform pereka fesyen muda menonjolkan bakat.
Muhamaad Razis Ismail


Industri fesyen tanah air memiliki ramai pereka fesyen berbakat besar yang boleh diketengahkan setanding pereka fesyen terkemuka tanah air sedia ada.

Malah, mereka mampu bersaing dalam pasaran antarabangsa sekiranya digilap dan mempunyai peluang berdiri di platform yang betul.

Walaupun dunia dilanda pandemik Covid-19 yang menjejaskan keseluruhan ekonomi dunia, industri fesyen tanah air perlu meneruskan usaha untuk membantu penggiat fesyen untuk terus maju dan bangkit semula.

Tinta Ariana, 46, turut terkesan akibat tempias pandemik yang melanda biarpun sudah berkecimpung dalam bidang fesyen sejak 18 tahun lalu.

Bagaimanapun, pemilik jenama BAQO ini berjaya menyesuaikan mengikut kesesuaian perniagaan dengan beralih kepada penghasilan pelitup muka fabrik menggunakan fabrik sedia ada yang tidak digunakan.

"Pada waktu sukar, saya bersyukur kerana mempunyai pasukan yang berdedikasi untuk melaksanakan penghasilan produk (pelitup muka fabrik) yang secara tidak langsung dapat memberikan mereka sumber kewangan.

"Industri ini mampu membantu pembangunan semula ekonomi selepas pandemik dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan," katanya.

SEBAHAGIAN daripada rekaan yang dipamerkan di SDG.
SEBAHAGIAN daripada rekaan yang dipamerkan di SDG.

Mengulas mengenai kecenderungannya dalam setiap rekaan, Tinta amat menggemari kain kapas dan renda.

"Saya lebih gemar menghasilkan rekaan 'smart casual' kerana ia mampu memenuhi pasaran yang lebih luas dan memberi kepuasan dalam pengalaman membeli pelanggan," katanya.

Tinta melihat industri fesyen Malaysia sangat unik kerana budaya negara ini yang mempunyai identitinya sendiri.

"Saya sangat bersyukur kerana menerima sokongan yang tidak berbelah bagi dari pereka fesyen yang lain ketika baru bermula dalam bidang ini 18 tahun lalu. Komuniti ini sangat kuat dan sering membantu satu sama lain tanpa. Inilah Malaysia!

TINTA bersama rekaan yang dipamerkan di SDG.
TINTA bersama rekaan yang dipamerkan di SDG.

"Budaya adalah elemen yang membentuk setiap individu pada masa kini dan masa depan. Kepelbagaian budaya ini diterapkan dalam setiap rekaan menjadikan industri tempatan sangat unik," katanya.

Bagaimanapun untuk menjadi pereka fesyen, terlalu banyak yang perlu dikorbankan untuk mengejar cita-cita kerana kepuasan pelanggan adalah keutamaan dalam kerjaya ini.

"Namun, segalanya berbaloi apabila mampu menghasilkan produk yang cantik dan unik untuk pelanggan," katanya.

Justeru itu, Tinta berpendapat, kerajaan dan pihak swasta perlu memperbanyakkan usaha memberi sokongan, tunjuk ajar dan dorongan kepada pereka fesyen muda yang berbakat untuk ke persada antarabangsa.

"Kita sudah berada di landasan yang betul melalui usaha yang dilakukan Sheng Tai International yang menyediakan platform untuk pereka fesyen muda memperagakan hasil kami.

"Ini adalah peluang keemasan yang mampu membantu pereka fesyen seperti saya menonjol," katanya.

Sheng Tai International Sdn Bhd (Sheng Tai International) bersama pereka fesyen tempatan tersohor, Bill Keith menganjurkan acara fesyen Met Gala Malaysia (MGM) 2021 pada Disember tahun lalu yang memberi peluang kepada 25 pereka tempatan untuk mempamerkan bakat mereka.

Seramai 25 pereka tempatan ini bersama 35 pereka diberi peluang untuk mempamerkan rekaan mereka di Straits Designers' Gallery (SDG), Metrasquare Ayer Keroh, Melaka.

PELITUP muka yang dihasilkan.
PELITUP muka yang dihasilkan.

Galeri ini adalah sebahagian daripada komitmen Sheng Tai International untuk mengangkat Melaka menjadi ibu kota fesyen seperti Milan.

Tinta berkata, SDG adalah kolaborasi yang membuka peluang kepada pereka tempatan untuk memperkenalkan jenama kepada pasaran yang lebih luas.

"Sebenarnya kita mempunyai ramai pereka fesyen muda yang berbakat, tetapi belum menyerlah. Oleh itu, peluang seperti ini amat diperlukan supaya mereka dapat memasarkan produk yang dihasilkan.

"Kita perlu mempunyai lebih banyak platform supaya lebih ramai pereka fesyen tempatan berpeluang ke hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 7:00 AM