KOLEKSI kapsul yang mempunyai maksud tersendiri.
KOLEKSI kapsul yang mempunyai maksud tersendiri.
Hafiz Ithnin

PESONA rekaan pakaian hasil sentuhan dua pereka fesyen di dalam satu label ini yang mengangkat inspirasi orkid hitam penuh subjektif sememangnya sesuatu yang menarik.

Sebaik sahaja 13 koleksi kapsul yang dipamerkan di atas pentas peragaan Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW), rekaan dua pereka fesyen ini mendapat tepukan gemuruh daripada penonton yang hadir kerana keunikan rekaan yang ditonjolkan.

Bagi pemilik koleksi kapsul itu Arun Marteen dan Mohd Saiful Izhan Ahmad, tiada kata-kata yang boleh mengungkapkan rasa puas sebaik sahaja 13 koleksi itu berjaya dihasilkan.

Arun berkata, dia dan Mohd Saiful mengambil masa sebulan untuk menyiapkan semua koleksi kapsul berkenaan dan segala-galanya dilakukan mereka berdua.

"Mementaskan koleksi jenama kami di atas pentas KLFW ini adalah kali pertama dan kami merasa amat kerdil memandangkan jenama kami masih baharu berbanding dengan jenama lain.

"Disebabkan itu, kami perlu menonjolkan sesuatu yang unik bukan sahaja dari segi teknikal rekaan 13 busana ini, malah membawakan definisi tersendiri dalam tema orkid hitam," katanya.

BUSANA yang mempunyai manik hasil kerja tangan halus dua pereka.
BUSANA yang mempunyai manik hasil kerja tangan halus dua pereka.

Arun berkata, kebiasaannya apabila memperkatakan mengenai tema bunga itu, pasti akan ada menyangkakan ia perlu bersifat bunga-bungaan semata-mata.

"Namun, dari kaca mata kami orkid hitam ini mempunyai erti yang lebih besar dan definisinya diangkat mengikut kaca mata peribadi.

"Tetapi jika anda perasan di dalam cetakan corak fabrik pada busana itu terdapat motif ular dan sebagainya yang menceritakan mengenai dunia lain," katanya.

Katanya, menonjolkan koleksi kapsul busana itu sebenarnya sebagai langkah untuk menunjukkan kepada pelanggan bahawa mereka adalah pereka fesyen dan bukan usahawan fesyen semata-mata.

"Perkara ini penting supaya kita ingin memberi kesedaran rekaan pakaian daripada pereka fesyen bukan sekadar ke arah jualan semata-mata tetapi ia adalah karya peribadi pereka itu sendiri.

"Dalam tempoh enam tahun mencipta jenama bersama, kita tidak mahu apabila pelanggan datang menunjukkan rekaan orang lain dan ingin mempunyai rekaan yang sama tetapi menjadikan rekaan kita sebagai busana peribadi mereka," katanya.

MENTERJEMAHKAN inspirasi orkid hitam menerusi pandangan peribadi.
MENTERJEMAHKAN inspirasi orkid hitam menerusi pandangan peribadi.

Arun dan Mohd Saiful yang bernaung di bawah label Arunsayfull cukup dikenali dengan potongan dan pemakaian material yang mewah serta perincian selain disarungkan kepada golongan elit.

Kata mereka, menyertai KLFW adalah impian pemain industri fesyen kerana acara ini adalah acara tahunan yang paling dinantikan penggemar fesyen.

"Sering kali kita lihat, ramai dalam kalangan pereka fesyen tanah air yang menggunakan platform KLFW sebagai batu loncatan bagi mengembangkan lagi jenama dan juga rekaan mereka.

"Kami juga tidak mahu terlepas. Peluang keemasan ini kami nantikan untuk menampilkan identiti sebenar Arunsayfull.

Malah dengan adanya KLFW, kami berupaya untuk menonjolkan jiwa sebenar sentuhan Arunsayfull di dalam setiap rekaan kami," kata Arun.

Di awal permulaan perniagaan, mereka kekurangan modal untuk mengeluarkan koleksi terbaru dan mengambil masa yang agak lama untuk mengumpul kewangan.

ANTARA rona berani yang menonjol ketika berada di pentas peragaan.
ANTARA rona berani yang menonjol ketika berada di pentas peragaan.

Pandemik Covid 19 juga menjadi antara cabaran terbesar bukan sahaja untuk jenama ini malah bagi semua rakyat Malaysia.

Arun berkata, pandemik yang melanda nyata membuka ramai minda penggiat fesyen tanah air mengenai pentingnya untuk mengekalkan perusahaan.

"Cabaran ini dijadikan pemangkin semangat bagi kami untuk terus menghasilkan karya-karya yang memberi impak kepada masyarakat.

"Namun menjadi seorang pereka fesyen dan usahawan dalam masa yang sama bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana seorang pereka perlu memiliki ilmu yang tinggi dalam arena fesyen dan bijak mengimbangkan diri dalam mempelajari selok-belok perniagaan supaya dapat menyusun strategi bagi mencapai sasaran yang diharapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 7:01 AM