GAYA klasik sememangnya sesuatu yang malar segar.(gambar hiasan)
GAYA klasik sememangnya sesuatu yang malar segar.(gambar hiasan)
SALAH satu inovasi pereka fesyen yang mengambil ilham daripada gaya klasik.(gambar hiasan)
SALAH satu inovasi pereka fesyen yang mengambil ilham daripada gaya klasik.(gambar hiasan)
Hafiz Ithnin


'MENYELAK' dunia fesyen muktahir ini, kelihatan begitu banyak ilham diriaskan pereka fesyen bersandarkan kepada rekaan klasik.

Ia seakan-akan memberi petunjuk bahawa rekaan klasik tempatan semakin mendapat perhatian di pasaran dan sekali gus mencerminkan kehendak si bakal pemilik busana berkenaan.

Penganalisis Fesyen, Dr Zuhaili Ismail berkata, sebenarnya rekaan bersandarkan ilham klasik bukan sekadar berlaku di pentas fesyen tempatan malah antarabangsa.

Katanya, firma fesyen antarabangsa sejak kebelakangan ini dilihat mula menjadikan rekaan sekitar 50-an atau 60-an sebagai ilham rekaan mereka tetapi mendapat inovasi mengikut cita rasa si pereka fesyen.

"Sebenarnya di dalam dunia fesyen, kitaran gaya adalah perkara yang biasa berlaku kerana ia akan dikembangkan atau mendapat sentuhan inovasi bagi memberi kesesuaian dengan era kini.

"Contohnya, rekaan gaun pengantin klasik semakin popular dalam kalangan pereka fesyen antarabangsa kerana mereka merasakan ia adalah masa yang sesuai untuk mengembalikan gaya berkenaan pada masa ini," katanya.

Tambahnya, perkara itu juga berkait rapat dengan situasi semasa yang berlaku seperti pandemik Covid-19, apabila pasaran fesyen mula melihat sesuatu yang ringkas menjadi pilihan pengguna.

"Apabila pasca Covid-19, pereka fesyen mula memperkenalkan sesuatu yang lebih menonjol tetapi masih mempunyai sedikit hubung kait dengan situasi yang pernah berlaku sebelum ini," katanya.

GAYA klasik mempunyai aura tersendiri.(gambar hiasan)
GAYA klasik mempunyai aura tersendiri.(gambar hiasan)

Mengenai trend di Malaysia, penganalisis itu juga melihat situasi menjadikan gaya klasik sebagai ilham pereka fesyen mula berkembang dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli.

"Kita boleh lihat pereka fesyen ternama tempatan menonjolkan rekaan baharu mereka bersandarkan ilham klasik dan ia juga menjadi pilihan golongan peminat fesyen.

"Ia sesuatu yang perkara yang amat positif kerana sekali gus mencerminkan bahawa gaya klasik adalah malar segar dan semakin dihargai," katanya.

SEMAKIN ramai menghargai busana tradsional.(gambar hiasan)
SEMAKIN ramai menghargai busana tradsional.(gambar hiasan)

Jelasnya, dalam musim perayaan Aidilfitri juga, pereka fesyen tempatan sudah mula mengambil ilham gaya klasik dari segi contohnya corak di atas tekstil dan potongan.

"Semakin klasik, semakin mendapat perhatian pembeli kerana ia juga mencerminkan keupayaan pereka fesyen untuk memberi nafas baharu kepada rekaan klasik tetapi tidak menafikan asas rekaan terdahulu.

"Malah, gaya klasik itu boleh disuai padankan dengan pelbagai gaya jalanan yang sebenarnya amat menarik untuk digayakan untuk gaya harian," katanya.

MENGEKALKAN gaya klasik menjadi pilihan tetapi mengubah mengikut acuan pereka fesyen.(gambar hiasan)
MENGEKALKAN gaya klasik menjadi pilihan tetapi mengubah mengikut acuan pereka fesyen.(gambar hiasan)

Katanya lagi, tidak mustahil juga bukan sekadar mengikut gaya klasik tetapi dari segi teknikal pakaian klasik mula mendapat perhatian pembeli ketika ini.

"Pakaian klasik tempatan yang asli amat menitik beratkan kepada teknikal seperti potongan dan jahitan. Perkara ini untuk direalisasikan pereka fesyen untuk ready to wear (RTW) sudah semestinya memberi sedikit cabaran.

"Namun untuk tempahan khas seperti majlis perkahwinan, ia mempunyai permintaan tersendiri daripada pembeli," katanya.

GAYA klasik kini semakin popular di atas pentas peragaan.
GAYA klasik kini semakin popular di atas pentas peragaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 6:20 AM