BATMOBILE yang digunakan dalam filem Batman Returns.
BATMOBILE yang digunakan dalam filem Batman Returns.
Nazarali Saeril


KETIKA filem 'Batman Returns' ditayangkan pada 1992, ramai yang mahu menontonnya kerana teruja dengan penampilan kenderaan adiwiranya iaitu 'Batmobile'.

Ramai yang berimpian untuk memilikinya kerana bentuknya yang cukup licin, menarik dan yang pasti, kena dengan penampilan 'gelap' Batman itu sendiri.

Terkini, Batmobile yang digunakan dalam filem Batman Returns berkenaan sedia untuk dijual pada harga kira-kira RM7 juta (AS$1.5 juta).

Untuk rekod, Batman Returns dilakonkan Michael Keaton sebagai Batman, Danny DeVito sebagai Penguin dan Michelle Pfeiffer sebagai Catwoman.

Batmobile dalam filem berkenaan yang sedia untuk dijual ini pula direka babak yang mana Penguin mengawalnya secara kawalan jauh.

Lebih unik, Batmobile berkenaan bergerak menggunakan kuasa elektrik.

KOKPITNYA boleh memuatkan tiga individu.
KOKPITNYA boleh memuatkan tiga individu.

Memetik laporan di laman jualannya, Classic Auto Mall, Batmobile ini kini ada di ruang pameran syarikat itu di Morgantown, Pennsylvania di Amerika Syarikat.

Antara keterangan diberikan syarikat berkenaan ialah Batmobile ini masih dipenuhi dengan gajet yang boleh disaksikan dalam filemnya.

Dengan kuasa elektrik, ia dihasilkan untuk bergerak seperti kenderaan biasa. Namun, ketika ini tidak dapat dipastikan sama ada Batmobile ini boleh dihidupkan memandangkan baterinya didakwa tidak dicas sejak 1993.

BENTUKNYA yang cukup licin, menarik dan kena dengan penampilan ‘gelap’ Batman.
BENTUKNYA yang cukup licin, menarik dan kena dengan penampilan ‘gelap’ Batman.

Bukan itu saja, malah kokpitnya boleh memuatkan tiga individu.

Seorang daripadanya boleh ditempatkan di kokpit tersembunyi yang terletak di belakang kokpit utama.

Lebih penting, semua gajet pada kenderaan ini kekal sama seperti yang asal walaupun ada peralatan atau gajetnya tidak berfungsi kerana ia dihasilkan semata-mata untuk menampakkan betapa 'cool' Batmobile ini.

Apa lagi peminat Batman, jika ada yang rasa mampu untuk memilikinya, sambar terus, tidak perlu berangan lagi.

Boleh saja bergaya di kawasan perumahan untuk ambil angin pada waktu petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 6:21 AM