PATTINSON teruja menjayakan filem The Batman.
PATTINSON teruja menjayakan filem The Batman.
Najiy Jefri


Siapa sangka, impian pelakon, Robert Pattinson untuk menjayakan filem adiwira terkenal, The Batman akhirnya menjadi kenyataan.

Pattinson berkata, dia obses untuk memegang watak Batman sejak setahun lalu.

Malah, pihak agensi Pattinson juga dikatakan terkejut mengetahui pelakon berusia 36 tahun itu begitu bersemangat untuk memainkan watak utama dalam filem The Batman.

"Saya sangat obses ketika mengetahui bakal menjayakan filem ini kira-kira setahun lalu," katanya.

Peranan Batman adalah uji bakat pertama Pattinson untuk filem yang diadaptasi daripada komik terkenal itu.

Sebelum ini, nama Pattinson terkenal sebagai pelakon yang memainkan watak sebagai Cedric Diggory dalam filem Harry Potter dan Edward Cullen menerusi filem Twilight.

Kemudian, Pattinson memilih untuk mengubah haluan seninya dengan terbabit dalam filem indie seperti The Lighthouse dan Good Time.

Katanya, berpeluang memegang watak Batman adalah satu peluang berharga dalam hidupnya.

"Tawaran ini adalah salah satu impian hidup saya dan ini kemanisan yang boleh diperoleh apabila menjadi pelakon.

"Selama ini saya tak pernah fikir akan sejauh ini, apatah lagi berpeluang membintangi filem ini," katanya.

PATTINSON memegang watak sebagai Bruce Wayne
PATTINSON memegang watak sebagai Bruce Wayne

The Batman bakal menjadi lakonan pertama Pattinson sebagai Bruce Wayne dan Batman.

Pelakon kacak ini menggantikan Ben Affleck yang memutuskan berhenti menjayakan watak sebagai Batman dari DC Comics itu.

Pada edisi kali ini, The Batman akan bercerita mengenai Bruce Wayne yang sudah berada di tahun kedua sebagai pembanteras kejahatan di Gotham City.

Dia akan bertemu dengan The Riddler lakonan Paul Dano dengan bantuan daripada Jim Gordon (Jeffrey Wright) dan Catwoman (Zoe Kravitz).

Lebih menarik, terdapat watak baharu diperkenalkan dalam filem ini iaitu Alfred Pennyworth (Andy Serkis) dan Penguin (Colin Farrell).

Filem The Batman versi Pattinson ini lebih fokus pada sisi detektif daripada pahlawan Gotham.

The Batman dijadualkan menemui penonton di Amerika Syarikat pada 4 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 6:14 AM