MINYAK Tulen Premium R3.
MINYAK Tulen Premium R3.
Lizam Ridzuan


SELEPAS lama menyepi, bahagian sukan permotoran Proton R3 kini kembali dengan melancarkan rangkaian minyak enjin dan produk barangan baharu.

Menerusi Proton Global Services (PGS) iaitu anak syarikat di bawah Proton Edar, ia juga sebagai permulaan kepada hala tuju baharu untuk jenama R3 itu sendiri.

Minyak Tulen Premium R3 dibangunkan bersama Petronas dengan formulasi sintetik penuh dan separa sintetik.

Minyak tulen P1 dan P2 ini dirumus menggunakan minyak asas Etro 6+ terbaharu.

Ia direka oleh Petronas untuk melawan haba yang berlebihan bagi memastikan prestasi yang lebih baik untuk enjin pengecas turbo suntikan terus yang kini mula ditawarkan untuk model kenderaan terkini.

Produk-produk ini juga menerima penarafan SP dan SN Plus untuk tahap pensijilan tertinggi oleh Institut Petroleum Amerika (API).

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Global Services Lee Yeet Chuan berkata, pelancaran minyak tulen ini dan produk barangan lain adalah langkah pertama penjenamaan semula R3.

"Produk ini akan dijual melalui rakan kongsi barangan premium Proton di 20 lokasi di seluruh Malaysia.

"Kami juga akan melancarkan banyak lagi produk baharu termasuk aksesori untuk pemilik jenama Proton. Ia untuk membina semula hubungan bersama peminat ciri prestasi R3," katanya.

Bagi Minyak Tulen Premium R3 sintetik penuh P1 (SAE 5W-30), ia dijual pada harga RM208 dan RM158 bagi separa sintetik P2 (SAE 10W-30).

Untuk harga pengenalan, ia dijual pada harga RM178 dan RM128 sehingga 30 April hadapan.

Rangkaian kemeja-T dan topi R3 berharga RM49 hingga RM60 pula boleh didapati di semua lokasi rakan kongsi barangan premium.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 6:46 AM