MAXUS G10
MAXUS G10
Mohd Razlan Salleh

PASARAN Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) tempatan sentiasa mendapat perhatian meskipun pasaran dibanjiri pelbagai model baharu yang dianggap lebih moden.

Namun, keluasan ruang sentiasa menjadi faktor penentu sekiranya ingin memilih MPV sebagai kenderaan utama di rumah.

Ciri lain yang pasti dipertimbangkan ialah praktikaliti, pacuan kuasa, kebolehpercayaan, khidmat selepas jualan dan nilai jualan semula.

Oleh kerana MPV sinonim dengan ruang dalaman luas, model bersaiz mega selalu menjadi pilihan keluarga besar sekiranya pembeli mempunyai bajet yang mencukupi.

Antara model yang menawarkan keluasan terbaik pada harga mampu milik ialah Maxus G10.

Model dibawa masuk pengedar Weststar Maxus, anak syarikat Weststar Group membolehkan pasaran segmen MPV kekal bersaing dengan tawaran produk berkualiti antara pengeluar Jepun, Eropah, China atau tempatan.

Penulis berkesempatan memandu uji model daripada varian SE yang menawarkan kapasiti 10 tempat duduk.

Bagi penulis, MPV ini adalah yang terbaik untuk mereka yang mencari kenderaan keluarga dengan keselesaan paling premium.

Oleh kerana pandu uji kali ini adalah MPV bersaiz mega, penulis memulakan ulasan dengan memfokuskan terhadap ruang dalaman terlebih dahulu.

Menerjah suasana kabin, tiada sebarang kepincangan yang jelas dengan kemasan premium seperti model lebih mahal.

Semua kerusinya dibalut material kulit yang kelihatan premium, malah setiap penumpang tidak akan ‘kepanasan’ apabila Maxus G10 didatangkan bersama unit pendingin hawa zon berkembar kawalan suhu automatik.

Ini bermakna, setiap barisan kerusi dilengkapi corong penghambur udara yang terletak di bahagian sisi kiri dan kanan.

Pintu gelongsor automatik kedua-dua belah memastikan penumpang keluar atau masuk dengan mudah dan boleh dikawal melalui kunci kawalan jauh.

Paling menarik, kerusi barisan ketiga adalah sepasang ‘captain seat’ yang sesuai untuk warga emas atau insan istimewa kerana bersifat lebih individual.

Selain itu, ketinggian bumbung menjadi antara ciri MPV terbaik kerana penumpang mudah bergerak atau keluar masuk meskipun kedudukan kerusi yang banyak.

Mengenai keselesaan, Maxus G10 dilengkapi ciri teknologi terkini membabitkan kemasukan tanpa kunci bersama butang penghidup enjin, bumbung suria dan pemain DVD dengan paparan LCD bersaiz tujuh inci bersama enam pembesar suara.

Ciri ini membolehkan setiap perjalanan jauh atau yang memakan masa menjadi lebih selesa.

Oleh kerana fizikalnya yang besar, Maxus G10 digerakkan enjin 2.0 TGI suntikan terus yang dipadankan bersama transmisi ZF automatik enam kelajuan bersama mod manual.

Rangkaian kuasa enjin ini mampu menyalurkan 225 kuasa kuda (hp) pada 5,500rpm manakala tork maksimum 345Nm pada 4,000rpm.

Sepanjang penulis memandu sehingga Tasik Chini, Pahang, dengan kapasiti enam penumpang dan barangan masing-masing, tiada kekurangan kuasa dirasai sepanjang menyusuri Lebuhraya KL-Karak.

Tiada kekurangan kuasa dirasai sebaik menghampiri Terowong Genting Sempah manakala suspensi juga berfungsi dengan baik bagi memastikan setiap penumpang selesa sepanjang perjalanan.

Cuma sistem suspensinya yang sedikit lembut mengganggu penumpang belakang apabila melalui laluan berturap yang tidak rata.

Reaksi enjin berkuasa petrol sangat baik dan penulis beranggapan penggunaan bahan apinya berpatutan dengan mengambil saiz fizikal, muatan dan jumlah penumpang.

Menyentuh mengenai reka bentuknya, jelas Maxus menerapkan gaya MPV Eropah dan sukar dipercayai jentera keluarga ini dikeluarkan di China.

Ini dapat dilihat melalui lampu hadapan yang besar dengan kedudukan cermin hadapan lebih menegak yang menjurus seperti sebuah van.

Garisan kontur sisi menjadikan Maxus G10 tampak kemas selain padanan rim aloi bersaiz 18 inci memperlihatkan ciri sporty.

Perumah lampu hadapan berciri HID dan dihiasi lampu nyalaan siang (DRL) untuk penampilan menarik manakala lampu belakang pula adalah LED yang lebih jelas.

Ciri keselamatannya boleh dikategorikan sebagai terbaik apabila dilengkapi dua beg udara, ABS dengan EBD, ESP, EBA, pengesan parkir, peringatan pemasangan tali pinggang keledar untuk pemandu dan sistem pemantauan tekanan tayar.

Sekiranya anda masih tercari-cari MPV bersaiz penuh yang premium tanpa pedulikan asal usulnya, Maxus G10 wajar menjadi pilihan utama kerana syarikat automotif ini sememangnya pakar dalam membina kenderaan penumpang berskala besar.

Diletakkan harga jualan bermula RM139,888 (tanpa insurans), ternyata tawaran sedemikian sukar digugat pesaingnya.

Spesifikasi Maxus G10

  • Enjin: 2.0L Turbo Gasoline Direct Injection (TGI)
  • Kuasa maksimum: 225hp @ 5,500rpm
  • Tork maksimum: 345Nm @ 4,000rpm.
  • Transmisi: Enam kelajuan automatik
  • Kapasiti bahan api: 75 liter
  • Ciri keselamatan: Dua beg udara, ABS dengan EBD, ESP, EBA dan pengesan parkir
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 10:18 PM