Lizam Ridzuan

Sesuai dengan peredaran zaman dan keperluan, kenderaan yang ideal untuk keluarga juga semakin banyak ditawarkan di pasaran.

Satu daripadanya ialah Toyota Veloz Serba Baharu.

Ia mempunyai kelebihan tersendiri sebagai sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) crossover yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu.

Vroom berpeluang memandu uji model ini baru-baru ini.

Meskipun berkongsi platform dan kilang pengeluaran yang sama dengan model Alza Serba Baharu, namun terdapat beberapa perbezaan pada Veloz.

Untuk bahagian luaran, rekaan grilnya lebih besar dan lebar dengan corak trapezoid hitam berkilat, selain rekaan lampu hadapan daripada LED juga berbeza.

Pada bahagian bampar bawah, terdapat kemasan krom kusam. Bahagian sisinya dengan rekaan lengkung roda yang lebih bersegi dan timbul menjadikan ia lebih sporty.

Model ini juga datang dengan pilihan warna dwitona tampil lebih menarik.

GAYA MPV crossover.
GAYA MPV crossover.

Rel bumbungnya berupaya menampung bebanan sehingga 75 kilogram (kg). Malah, antena radio sirip jerung antara elemen yang ada padanya.

Ia juga tampil sepadan dengan rim aloi bersaiz 17 inci serta lampu belakang LED yang merentasi pintu.

Untuk rekaan dalaman kabin, model ini menawarkan ruang luas serta berciri premium.

Ia boleh dilihat menerusi kemasan dwitona warna terang dan gelap pada bahagian pintu dan papan pemuka.

Ia juga dilengkapi sistem infotainmen bersaiz 9 inci dengan keterhubungan tanpa wayar untuk Apple CarPlay dan Android Auto.

Pada skrin ini juga, dilengkapi paparan kamera 360 darjah unik yang boleh ditukar sudut pandangan, termasuk pemilihan warna kenderaan dalam skrin.

Tempat duduk semi kulit premium juga selesa untuk perjalanan jauh.

Untuk pemandu dan penumpang hadapan, bagi melaras kedudukan dan bahagian penyandar, ia perlu dilakukan secara manual.

KEMASAN kabin gaya premium.
KEMASAN kabin gaya premium.

Pemandu juga disertakan dengan kluster meter digital sepenuhnya dan skrin berwarna bagi memaparkan pelbagai maklumat perjalanan antara yang menyerlahkan ciri kemajuan.

Tambah menarik, dengan lampu suasana, ia menambah elemen premium pada waktu malam.

Kemasan lembut pada beberapa bahagian dalaman turut memberikan kualiti kemasan yang lebih baik.

Sesuai sebagai kenderaan untuk mobiliti keluarga, ia juga datang dengan pelbagai kemudahan tambahan seperti 15 ruang meletak botol minuman, pengecas USB dan ruang simpanan 'rahsia' bagi menyimpan lebih barangan agar tidak berselerak yang terletak di bahagian kargo.

Corong penyaman udara khusus untuk penumpang belakang boleh dilaras suhu untuk kenyamanan sepanjang perjalanan.

Untuk pemanduan, Veloz Serba Baharu dijana enjin 1,496cc dwi-VVT-i 4 silinder sebaris DOHC.

Ia menjana kuasa 106 PS pada 6,000 rpm dan tork 138Nm pada 4,200 rpm dengan tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Sport.

Penulis memandunya mendaki Genting Highlands dengan kotak gear 7 kelajuan CVT.

Ia menawarkan kelancaran yang berterusan dengan selekoh tajam mudah dilepasi.

Stereng teleskopik dan radius belokan lima meter juga sangat membantu pemanduan.

ENJIN 1.5 liter.
ENJIN 1.5 liter.

Meskipun ada ketika enjin perlu bekerja lebih keras dengan laluan seperti itu, namun ia masih lagi berupaya untuk mendaki dengan lancar.

Di atas lebuh raya, pada kelajuan tinggi, kebisingan, gegaran dan kekasaran (NVH) juga agak baik.

Penulis dapat rasakan, tidak terlampau kuat mendengar bunyi enjin atau tayar, serta lebih senyap untuk keseluruhan kabin.

Sistem gantungan dengan suspensi hadapan McPherson dan belakang dengan torsion beam, mengawal lebih baik kenderaan ini pada selekoh.

Ia turut dibantu sistem Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan Kawalan Cengkaman (TRC).

Ia juga menambah keselesaan ketika menempuhi laluan tidak rata terutama kepada penumpang apabila melepasi garisan-garisan putih yang agak tebal di atas lebuh raya ke Genting Sempah.

Kenderaan ini dilengkapi ciri keselamatan terbaik yang menambah keyakinan untuk pemanduan menerusi Toyota Safety Sense (TSS).

Ciri standard ini adalah untuk model Toyota terbaharu dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Amaran Keluar Lorong (LDW), Makluman Pelepasan Hadapan (FDA), Kawalan Kesalahan Operasi Pedal, Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC) dan Lampu Pemanduan Adaptif (ADB).

Ciri lain, Pemantauan Titik Buta (BSM), Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA) dan kamera 360 darjah. Ia membantu penulis melepasi laluan parkir sempit di hotel.

Secara keseluruhan, selepas memandu uji Toyota Veloz ini, penulis dapati, ia melengkapi keperluan kenderaan untuk seisi keluarga sama ada tujuan aktiviti harian atau ke mana-mana destinasi hujung minggu.

Ruang dalamannya juga luas dan praktikal. Baris tempat duduk ketiga boleh dilipat untuk ruang storan 498 liter.

Ciri keselamatan terbaik termasuk enam beg keselamatan SRS dan ia antara yang termaju dalam segmennya.

Veloz juga menerima penarafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) menerusi tangki bahan api 43 liter yang mana ia mampu menjangkau perjalanan sehingga 390km.

Penulis mengujinya dengan memandu pada pelbagai kelajuan, melalui kesesakan trafik, mod pemanduan Power dan permukaan jalan tanah tinggi termasuk ke Genting Highlands.

Tiga port pengecas USB termasuk satu tanpa wayar pada konsol tengah memberikan kemudahan bekalan kuasa telefon pintar sentiasa mencukupi.

Jarak kelegaan jalannya ialah 190 milimeter (mm), ia 30mm lebih tinggi daripada Alza.

Ia juga datang dengan brek cakera hadapan dan belakang untuk keupayaan membrek dengan lebih baik.

Terdapat lima pilihan warna iaitu biru metalik dengan bumbung hitam, perak metalik dengan bumbung hitam, hitam kebiruan metalik, merah metalik dan putih.

Untuk pasaran Malaysia, Toyota Veloz Serba Baharu dijual dengan satu varian pada harga RM95,000 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan lima tahun dan jarak pemanduan tanpa had.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2023 @ 6:55 AM