ENJIN 3.5 liter yang menjimatkan minyak.
ENJIN 3.5 liter yang menjimatkan minyak.
KERUSI penumpang belakang yang selesa.
KERUSI penumpang belakang yang selesa.
RUANG kokpit sarat dengan butang kawalan.
RUANG kokpit sarat dengan butang kawalan.
BUMBUNG suria dipadankan bersama model ini.
BUMBUNG suria dipadankan bersama model ini.
GAYA MPV yang sesuai untuk pemanduan harian.
GAYA MPV yang sesuai untuk pemanduan harian.
Badrila Jamlus


Sekali imbas jika dilihat secara memanjang, reka bentuk kedua-dua varian generasi terbaharu kenderaan pelbagai guna (MPV) premium edaran UMW Toyota Motor Sdn Bhd, iaitu model Alphard dan Vellfire 2016 tidak banyak berbeza.

Bagaimanapun, perbandingan lebih teliti di bahagian hadapan khususnya, gril hadapan yang juga ‘muncung’ Alphard 3.5 berwarna putih Mutiara lebih menonjol apabila menampilkan rekaan berkonsep ‘Berani dan Hebat’ dengan gril besar kemasan krom bak perisai dan berkotak-kotak.

Pada gril ini juga ditempatkan logo simbol khas pada bahagian tengah diapit pula sepasang lampu hadapan LED berbentuk J larasan automatik dengan lampu selekoh dan lampu nyalaan siang LED serta sepasang lampu kabus dua diod LED yang ditempatkan pada perumah berbentuk segi empat, di setiap sisi bahagian bawah bampar hadapan.

Sebaik melangkah ke bahagian dalaman, tema warna ‘beige’ dengan kemasan kayu berwarna perang menghiasi keseluruhan ruang dalamannya sekali gus menyerlahkan ciri kemewahannya sesuai bagi syarikat yang mahu menonjolkan imej korporat ‘hebat’ ketika membawa tetamu khas syarikat.

Secara teknikalnya, kabin Alphard ini direka berkonsep ‘Avant Gorgeous’ yang mengekalkan ciri premium MPV menerusi penggunaan bahan berkualiti tinggi.

Justeru, bagi keselesaan dan ketenangan fikiran apabila memiliki MPV mewah Jepun ini, UMW Toyota Motor membawa masuk model berkenaan yang diimport sepenuhnya dari negara berkenaan tetapi memiliki spesifikasi yang ditala sepenuhnya mengikut cita rasa rakyat Malaysia seperti ECU enjin, sistem audio dan navigasi.

Sebagaimana model Vellfire yang pernah dipandu uji penulis sebelum ini, model Alphard mendapat sokongan penuh andai dihantar ke mana-mana pusat servis sah sekali gus pemiliknya tidak perlu bimbang dengan aspek penyelenggaraan dan alat ganti yang dijamin tulen. Ini kerana kedua-dua model berkenaan mendapat jaminan selama lima tahun dengan perbatuan tanpa had selain jaminan ketersediaan alat ganti selama 10 tahun.

Kesempatan penulis memandu uji model Toyota Alphard berkuasa 3.5 liter membabitkan perjalanan lebih 500 kilometer sekitar Lembah Klang dan laluan lebuh raya dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru, baru-baru ini memberikan kepuasan sebenar daripada aspek keselesaan, kestabilan dan pengendalian yang mudah meskipun bersaiz besar.

Ketika di laluan lurus lebuh raya, penulis tidak menghadapi masalah memecut laju apatah lagi memintas kenderaan lain dan keselesaan ditawarkan tidak sahaja kepada penumpang malah pemandu sendiri amat selesa dengan kedudukan kerusi empuknya yang mudah dilaras sesuka hati secara elektronik bagi memenuhi keinginannya.

Pandangan penulis ialah beberapa ciri yang mungkin boleh dipadankan pada masa depan seperti ciri kamera 360 darjah bagi membantu ketika memarkir dan lampu amaran pada cermin sisi bagi tujuan memaklumkan kehadiran kenderaan di sisi kiri atau kanan.

Rekaan Luaran

Alphard direka dengan lebih elegan dengan menerapkan konsep ‘Berani dan Hebat’. Rekaan hadapannya menampilkan gril hadapan besar kekemasan krom umpama ‘perisai’ dan sepasang lampu hadapan LED berbentuk J larasan automatik dengan lampu membelok serta lampu nyalaan siang LED.

Gril hadapannya memanjang ke bawah dipadankan pula dengan sepasang lampu kabus terpasang pada bamper terletak di kedua-dua hujung bahagian bawah berkenaan.

Model itu dilengkapi dengan roda aloi 18-inci dan pada bahagian lampu belakang, Alphard menampilkan kanta LED berwarna merah yang kelihatan sungguh elegan, sesuai bagi mereka yang bercita rasa mewah.

Fakta menarik mengenai Alphard ialah panjangnya cuma 4,915mm berbanding Vellfire 4,930mm manakala lebar kedua-duanya sama iaitu 1,850mm dan tinggi 1,895mm.

Ruang Dalaman

Melangkah ke ruang dalaman, model ini berkongsi rekaan berkonsep ‘Avant Gorgeous’ yang sama dan hanya dibezakan dengan tema warna. Alphard menerima tema warna beige dengan kemasan beige pada bumbung dan trim kayu berwarna perang.

Ia dilengkapi tujuh tempat duduk dengan bentangan konfigurasi 2-2-3 dengan barisan kedua menampilkan tempat duduk ‘kapten’ bersama perehat kaki Ottoman. Perehat kaki Ottoman juga dipadankan pada tempat duduk hadapan sebelah penumpang malah kedua-dua belah pintu gelongsor belakang diberikan bantuan kuasa elektrik, begitu juga dengan pintu tailgate belakang.

Penumpang belakang boleh tidur dengan nyenyak sambil melunjurkan kaki supaya perjalanan jauh tidak memenatkan malah barisan kerusi ketiganya boleh dilaras untuk mendapatkan ruang kargo lebih besar. Sembilan jenis pelarasan tempat duduk boleh dilakukan malah enam beg golf boleh dibawa dalam ruang kargo.

Sesuai dengan cogankatanya, ‘Perjalanan Dalam Kemewahan’ MPV ini dilengkapi paparan meter pelbagai informasi TFT Optitron bersaiz 4.2-inci dan bumbung suria di hadapan serta belakang juga disediakan.

Sistem infotaimen juga menyeronokkan malah navigasi dengan skrin sentuh DVD-AVN tujuh-inci dihubungkan kepada lapan pembesar suara, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, roda stereng pelbagai-fungsi, lampu suasana 16-warna pada kabin belakang, skrin hiburan 10.2-inci (dengan kawalan jauh dan fon kepala tanpa wayar) di belakang, pendingin hawa tiga-zon berserta liang dan kawalan di belakang lengkap dengan teknologi nanoe Panasonic.

Malah dengan satu sentuhan pada butang di stereng, anda boleh mengubah nada bunyi pintu gelongsor kepada tiga pilihan dan memilih warna lampu panel LED di bahagian kabin belakang selain tahap cahaya lampu dalaman.

Enjin Berkuasa

Alphard dikuasakan enjin 2GR-FE V6 3.5 liter DOHC dengan Dual VVT-i yang menjana 271 PS pada takat 6,200 rpm dan tork maksimum 340 Nm pada 4,700 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear CVT, pacuan roda hadapan dan pada aspek penjimatan minyak, model ini dipadankan dengan mod ECO. Namun sayang sekali, model ini tidak dipadankan dengan sistem henti/mula sebagaimana model Vellfire.

Selain itu, bagi memudahkan pengendalian ketika parkir, stereng model ini dipadankan dengan motor elektrik (EPS) dan jika mahu berhenti di lampu isyarat tanpa menekan brek, anda hanya perlu menekan butang ‘hold’ di sebelah kiri berhampiran gear.

Pemandu juga boleh mengetahui semua maklumat mengenai kenderaan termasuk tahap penggunaan minyak menerusi panel skrin pintar yang boleh dikawal pada butang stereng pada sebelah kanan.

Berdasarkan pemanduan penulis, tahap purata penggunaan petrol menerusi mod ECO menjimatkan tetapi andai butang ini tidak diaktifkan, kesan tindakbalas enjin begitu responsif susulan pembakaran bahan api lebih pantas.

Aspek Keselamatan

Struktur reka bentuk hadapannya khusus untuk menyerap hentakan akibat perlanggaran sebelum tiba di bahagian kabin penumpang menerusi struktur besi yang diperkukuhkan bagi memberikan perlindungan maksimum.

Tujuh beg udara keselamatan di hadapan dan sisi selain tali pinggang tiga mata untuk semua penumpang serta kerusi ISOFIX untuk kemudahan kerusi kanak-kanak juga disediakan.

Ciri keselamatan lain termasuk ABS dengan sistem pengagihan tekanan brek elektronik (EBD), bantuan brek (BA), kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman (TRC) juga setara selain kawalan bantuan pendakian (HAC).

Satu lagi ciri yang menarik perhatian penulis ialah sensor yang memberikan maklumat pada skrin meter sekiranya anda terlupa menutup tingkap atau memadam lampu. Sistem sensor juga mengesan jika kaca tingkap MPV ini dipecahkan dengan membunyikan siren.

Ciri tambahan lain ialah perakam video digital bersaiz 2.4 inci yang merekodkan imej hadapan menerusi slot kad memori bagi kegunaan tertentu seperti berlakunya kemalangan atau sekadar merakam perjalanan anda ke mana-mana sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2017 @ 5:01 AM