MUSTAPA (kanan) dan Syed Azman  melancarkan Maxus G10.
MUSTAPA (kanan) dan Syed Azman melancarkan Maxus G10.
MAXUS G10.
MAXUS G10.
REKAAN bergaya.
REKAAN bergaya.
KOKPIT pemandu.
KOKPIT pemandu.
Erywan Norshal


Jika dibandingkan harga serta keluasan dengan kebolehan membawa kapasiti 10 penumpang, kenderaan pelbagai guna (MPV) menerusi Maxus G10 adalah jentera yang berbaloi untuk dimiliki sebagai pengangkutan seisi keluarga.

Ditawarkan pada harga RM139,888, ternyata kenderaan itu tidak boleh ‘dicabar’ dengan MPV jenama lain yang berkongsi segmen sama.

Dari segi luaran, gaya Maxus G10 tampak kemas selepas diperkuatkan dengan garisan tepi untuk memberi penampilan lebih mantap.

Sebenarnya, ruang kabin yang menjadi taruhan utama bagi MPV 10 penumpang itu selepas menawarkan keselesaan, keluasaan dengan ciri kemudahan terkini.

Apa yang menarik, semua kerusinya dibalut dengan material kulit supaya kelihatan premium. Malah, ia memiliki elemen terkini membabitkan zon berkembar kawalan suhu automatik, corong penyaman udara bagi penumpang belakang.

Selain itu, Maxus G10 dilengkapi ciri teknologi terkini membabitkan kemasukan tanpa kunci bersama butang penghidup enjin, bumbung panoramik dan pemain DVD dengan paparan LCD bersaiz tujuh inci bersama enam pembesar suara.

Bagi membawa jentera sebesar itu, ia menggunakan enjin 2.0 TGI yang dipadankan transmisi enam kelajuan automatik bersama mod manual keluaran jenama ZF untuk memberi prestasi lebih lancar.

Rangkaian kuasa enjin itu mampu menyalurkan kuasa maksimum sehingga 225hp pada 5,500rpm dengan tork setinggi 345Nm pada 4,000rpm.

Ciri keselamatannya masih lagi terbaik selepas dilengkapi dua beg udara, ABS dengan EBD, ESP, EBA, pengesan parkir, pengingatan pemasangan tali pinggang keledar untuk tempat duduk pemandu dan sistem pemantauan tekanan tayar.

Mereka yang berminat untuk memilikinya, ia ditawarkan tiga pilihan warna menarik membabitkan emas, hitam dan putih, selain didatangkan jaminan tiga tahun serta bonus tambahan untuk setahun servis percuma.

Sementara itu, Pengarah Urusan Weststar Group, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim berkata, kumpulan sasaran bagi kenderaan itu adalah keluarga bersaiz sederhana dan besar yang mengutamakan keselesaan, praktikaliti serta jimat minyak.

Menurutnya, syarikatnya optimis untuk menjual sebanyak 500 hingga 1,000 unit Maxus G10 pada tahun ini selepas menerima pratempahan sebanyak 120 unit.

“Syarikatnya turut menyasarkan 10 peratus penguasaan pasaran bagi segmen MPV di negara ini berikutan jentera berkenaan berpotensi untuk menjadi kenderaan kegemaran rakyat Malaysia.

“Pada masa sama, kami merancang untuk memulakan pemasangan tempatan (CKD) bagi model berkenaan September ini, selain akan mengeksport ke pasaran ASEAN pada tahun hadapan dengan Indonesia sebagai negara pertama,” katanya ketika melancarkan Maxus G10 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis itu turut disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Weststar Maxus adalah anak syarikat Weststar Group yang kini memiliki 15 pengedar jualan dan 32 pusat servis di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 5:01 AM