MUHAMMAD Najib Nazmi dipeluk sebahagian rakan baiknya selepas pengebumian arwah ayahnya di Kelantan, Sabtu lalu. FOTO Ihsan Muhamamd Shafiqal Mat Sukri
MUHAMMAD Najib Nazmi dipeluk sebahagian rakan baiknya selepas pengebumian arwah ayahnya di Kelantan, Sabtu lalu. FOTO Ihsan Muhamamd Shafiqal Mat Sukri
Redzuan Muharam


Kuala Kangsar: Ikhlasnya persahabatan tujuh sekawan kerana sanggup susah senang bersama dalam apa jua keadaan walaupun tiada pertalian darah.

Semangat setiawakan mereka dapat dilihat menerusi perkongsian video Muhammad Shafiqal Mat Sukri, 24, di TikTok.

Menerusi video itu, kelihatan Muhammad Najib Nazmi Nazaruddin, 20, iaitu salah seorang mereka pulang ke rumah membawa berita duka apabila diuji dengan pemergian bapa tercinta, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Muhammad Najib Nazmi tidak berseorangan kerana enam rakan baiknya sanggup menyewa kereta untuk menziarahi keluarga dan mengiringi pengebumian bapanya di Pasir Mas, Kelantan.

Menceritakan kisah itu, Muhammad Shafiqal yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Kaunseling di Universiti Sultan Azlan Shah (Usas), di sini berkata, dia dan Muhammad Najib Nazmi serta lima rakan lain, Muhammad Ammar Aiman Azhar, Muhammad Bahar, Muhammad Farith Azman, Muhammad Danish Azuan dan Muhammad Sufi Sahiran Zamrizaman yang kesemuanya berusia 20 tahun sangat rapat memanadangkan mereka tinggal satu rumah.

Disebabkan itu, Muhammad Shafiqal dan lima rakan lain memahami perasaan Muhammad Najib Nazmi yang kehilangan bapa sekelip mata.

"Pada hari berkenaan (Sabtu lalu) Najib (nama panggilan) kejutkan saya maklumkan dia nak balik kampung kerana terima berita ayahnya tidak sedarkan diri selepas pitam.

"Najib mulanya ragu-ragu untuk balik tetapi saya nasihatkan dia pulang juga kerana bimbang jadi apa-apa.

"Tak sampai lima minit selepas bertolak, Najib patah balik ke rumah dan beritahu bapanya sudah tiada," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Shafiqal, dia dan rakan lain bukan enggan ikut sama cuma Muhammad Najib Nazmi perlu mengambil adiknya di satu kawasan menyebabkan kereta milik Najib tidak muat.

MUHAMMAD Shafiqal (duduk atas kiri) bersama rakan dan bapa rakannya.FOTO Ihsan Muhamamd Shafiqal Mat Sukri
MUHAMMAD Shafiqal (duduk atas kiri) bersama rakan dan bapa rakannya.FOTO Ihsan Muhamamd Shafiqal Mat Sukri

Mengenangkan Muhammad Najib Nazmi dalam kesedihan, Muhammad Shafiqal dan lima rakan lain sepakat mengumpul duit untuk menyewa kereta.

"Puas juga cari (kereta) yang sesuai dan boleh muatkan kami berlima sebelum jumpa sebuah kereta sewa berharga RM220 sehari dengan setiap seorang bayar RM75 termasuk duit minyak.

"Selepas dapat kereta sewa, kami pun bertolak kira-kira jam 3 petang hari yang sama dan tiba jam 9 malam.

"Najib tahu kerana kami minta alamat untuk ke rumahnya dan dia memang menunggu kedatangan kami.

"Alhamdulillah, kami ada dengan Najib sejak jenazah sampai ke rumah hingga selesai pengebumian," katanya.

Meskipun baru setahun berkenalan, Muhammad Shafiqal amat menghargai persahabatannya dengan Muhammad Najib Nazmi dan lima rakan baiknya yang lain.

Ia kerana dia tidak ramai rakan terutama lelaki kerana kurang keyakinan akibat masalah kulit kronik, psoriasis.

"Kami semua berkenalan Ramadan tahun lalu sejak tinggal serumah.

"Dalam kami bertujuh, saya paling tua dan kiranya abang kepada mereka (rakan lain) kerana beza umur kami empat tahun.

"Walaupun tidak semua sekelas dan ambil jurusan sama, kami bertujuh amat rapat malah pergi mana semua bersama.

"Seorang makan di kedai, semua makan di kedai. Seorang makan mi segera, yang lain pun makan mi segera.

"Saya tak boleh lihat ada di antara kami dalam kesusahan kerana akan cuba bantu satu sama lain.

"Najib pun pandai bab kereta, jika ada kerosakan, kami akan minta tolong Najib dan tak pernah sekali pun dia mengeluh," katanya.

Berhubung perkongsiannya di TikTok, Muhammad Shafiqal berkata, niatnya memuat naik video itu sekadar untuk berkongsi kenangan bersama rakannya.

"Tak sangka ramai mendoakan ayah Najib walaupun mereka tak kenal... Malah, saya tidak boleh baca komen kerana akan sedih.

"Kalau saya jadi di tempat Najib, saya pun akan sedih kerana tidak sekuat dia.

"Apa pun yang berlaku, kami harap Najib kuat, kami tunggu dia pulang ke sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 8:00 PM