LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Remaja perempuan yang melecur 70 peratus di muka dan badan akibat disimbah asid di Denai Alam, Selangor pada 8 November lalu akan menjalani pembedahan kali kesembilan, Selasa ini.

Bapanya, Azman Shah Mohammad, 43, berkata, anaknya, Nadia Fasha Qistina, 19, akan menjalani pembedahan di bahagian kelopak mata.

"Sebelum ini, dia sudah menjalani pembedahan kelopak mata. Namun, matanya masih tidak boleh tutup dengan rapat dan kering.

"Saya dimaklumkan oleh doktor yang merawatnya bahawa matanya tidak mengeluarkan air mata dan ia mungkin ada kaitan dengan masalah saraf.

"Fokus proses pemulihan kesihatannya kini adalah di bahagian mata dengan penglihatannya kabur.

"Secara keseluruhannya, dia dalam keadaan stabil dan sudah melepasi fasa kritikal," katanya ketika dihubungi hari ini.

Azman yang juga peniaga burger berkata, mereka sekeluarga perlu kuat di hadapan Nadia supaya anaknya itu boleh menjalani fasa pemulihan dengan lebih cepat.

"Nadia ada bertanyakan mengenai keadaan mukanya yang berbalut memandangkan dia sendiri tidak pernah melihat wajahnya tanpa ada kelopak hidung yang dibuang (melalui pembedahan).

"Setiap kali Nadia tanya soalan itu, saya akan menenangkannya dengan memaklumkan semuanya akan baik. Kami akan cari duit untuk dia menjalani pembedahan termasuk pembedahan plastik di bahagian wajahnya.

"Depan anak, kami (keluarga) kena tunjuk perkara yang positif supaya dia tidak patah semangat kerana Nadia masih muda dan panjang lagi proses rawatan susulan perlu dijalaninya selepas ini," katanya.

Mengulas mengenai jumlah wang sumbangan orang ramai bagi membantu Nadia, beliau berkata, dianggarkan lebih RM30,000 diterimanya setakat ini.

"Jumlah keseluruhan kos rawatan Nadia belum lagi dimaklumkan oleh pihak hospital dan dia mungkin perlu menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB) lebih lama lagi.

"Kos rawatannya dijangka akan bertambah termasuk rawatan susulan serta pembedahan plastik yang akan dijalaninya selepas ini," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan remaja terbabit sudah hampir dua bulan menerima rawatan di HSB dan menjalani lapan kali pembedahan bagi memulihkan tisu kulit serta menyelamat matanya.

Dalam kejadian pada 5 petang pada 8 November lalu, Nadia dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menunggang motosikal sebelum dihampiri seorang penunggang p-hailing yang bertindak menyimbah cecair asid ke arahnya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi menampung kos rawatan Nadia boleh menyalurkan sumbangan di akaun CIMB 7026639538 atas nama Azman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 3:28 PM