LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Raja Noraina Raja Rahim


Sungai Buloh: Bapa mengharapkan keadilan buat anaknya Nadia Fasha Qistina, 19, yang melecur 70 peratus di muka dan badan akibat disimbah asid tanpa sebarang motif.

Azman Shah Mohammad, 43, berkata, anaknya baru tamat persekolahan dan bekerja di sebuah klinik swasta di Denai Alam, Selangor.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang pada 8 November lalu, katanya, Nadia atau mesra dipanggil kakak dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menunggang motosikal sebelum dihampiri seorang penunggang p-hailing yang bertindak menyimbah cecair asid ke arahnya.

"Kakak beritahu dia berasa panas dan pakaiannya mula terhakis. Dia berhenti dan meminta bantuan peniaga di tepi jalan sebelum dibawa ke klinik berhampiran.

"Klinik menghubungi isteri memaklumkan kejadian dan saya segera ke klinik. Kakak terus dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan kerana keadaannya yang kritikal ketika itu," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, anaknya melecur teruk di muka, tangan dan kaki kini masih dirawat di hospital dan sudah menjalani lapan kali pembedahan membabitkan kos keseluruhan lebih RM30,000.

Katanya, dia sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu dan sehingga kini difahamkan siasatan masih berjalan.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), lelaki itu memakai topi keledar berpenutup penuh, sarung tangan dan membawa beg p-hailing menunggu anak saya di restoran berhampiran klinik. Apabila lihat anak saya keluar, dia terus mengekorinya.

"Tapi kejadian simbah asid itu berlaku dekat kawasan pokok besar dan tiada CCTV. Perbuatannya seperti sudah dirancang dan dia seolah mahir dengan jalan di situ.

"Saya tidak tahu punca anak saya diperlakukan demikian. Dia baru enam hari bekerja, malah saya dan isteri juga tidak ada masalah perniagaan atau berhutang dengan sesiapa," katanya.

Katanya, dia berharap pelaku segera ditahan demi keadilan buat anaknya itu.

Harian Metro semalam melaporkan, gadis terbabit sudah hampir dua bulan menerima rawatan di HSB dan menjalani lapan kali pembedahan bagi memulihkan tisu kulit serta menyelamat matanya.

Azman yang hanya peniaga burger dilaporkan berkata, setiap minggu dia perlu membayar RM1,600 untuk membeli bactrigas yang berfungsi seperti pembalut.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi menampung kos rawatan anaknya itu boleh menyalurkan sumbangan di akaun CIMB 7026639538 atas nama Azman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 3:09 PM