KEADAAN lokasi kemalangan di Kilometer 17 Jalan Genting-Bentong. semalam.
KEADAAN lokasi kemalangan di Kilometer 17 Jalan Genting-Bentong. semalam.
Nadzreen Shah Mat Salim


Genting Highlands: Seorang pemandu dan kelindannya parah selepas lori dinaiki hilang kawalan sebelum merempuh tebing bukit di Kilometer 17, Jalan Genting-Bentong, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.10 pagi, pemandu, Kusrin Kasiman, 44, warga Indonesia dan kelindan, Low Keng Huat, 49, sempat melompat keluar apabila menyedari kenderaan itu gagal dikawal.

Anggota Unit Bantuan Kecemasan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Shukor Hashim berkata, dia bersama lima anggota bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan jam 10.20 pagi.

“Setibanya di lokasi, terdapat dua orang dalam keadaan terbaring di atas jalan.

“Anggota segera memberikan rawatan kepada mereka,” katanya, ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, saksi mendakwa kedua-dua mangsa sempat keluar dan bergolek di atas jalan sebelum lori berkenaan merempuh tebing bukit.

“Akibat kejadian, tayar hadapan lori tercabut dan hampir mengenai mangsa yang terbaring di atas jalan,” katanya.

Dia berkata, kedua-dua mangsa parah di kepala dan kaki.

“Pemandu lori tidak sedarkan diri ketika anggota paramedik memberikan rawatan.

“Kedua-dua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2016 @ 5:57 AM