BERNAMA

Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai, Pahang pada 7 Oktober ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 23 September dan 3 Oktober.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR, di sini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRK Dun Pelangai.

PRK Dun Pelangai perlu diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Selain Johari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, sembilan lagi terkorban dalam nahas membabitkan pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu.

PRK Dun Pelangai adalah PRK keempat diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada November tahun lalu.

Abdul Ghani berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK Dun Pelangai adalah terkini sehingga DPPR Tambahan Bulan Mei 2023 yang dikemas kini sehingga 17 Ogos 2023.

"'DPPR bagi PRK Dun Pelangai mengandungi seramai 16,456 orang pemilih, terdiri daripada 16,417 orang pengundi biasa, 36 orang anggota polis dan 3 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara," katanya.

Menurutnya, sebanyak RM2.1 juta perbelanjaan diperlukan bagi melaksanakan PRK Dun Pelangai dengan 312 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK itu, dan seorang pegawai pengurus pilihan raya yang dibantu tiga orang penolong pegawai pengurus sudah dilantik bagi melaksanakan proses PRK berkenaan.

Beliau berkata PRK itu akan menggunakan sembilan pusat mengundi biasa yang mengandungi 30 tempat mengundi dan saluran, dan satu tempat mengundi dan saluran awal.

Abdul Ghani berkata pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi bagi PRK Dun Pelangai adalah di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul.

Sementara tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 23 September sehingga 11.59 malam pada 6 Oktober.

"Dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya ditubuhkan SPR bagi memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen," katanya menambah pasukan itu dianggotai wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan wakil calon yang bertanding.

Menurut Abdul Ghani urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK itu akan dibuka bermula hari ini secara dalam talian.

Tarikh tutup permohonan pula adalah pada 19 September bagi kategori 1A (petugas pilihan raya, ahli/ pegawai SPR, polis, tentera dan petugas media), 2 September bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan 5 September bagi kategori 1C (agensi/organisasi).

Semakan untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan boleh dilakukan melalui portal di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau hubungi hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124 yang mula dibuka pada 18 September.

Abdul Ghani menyeru bakal calon PRK berkenaan untuk mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus terlibat atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Pahang sebelum Hari Penamaan Calon untuk memudahkan proses penamaan calon.

Bagaimanapun, kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus hendaklah dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon di pusat penamaan calon (PPC) yang telah ditetapkan oleh SPR.

Abdul Ghani berkata SPR juga menjemput mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat perjalanan proses PRK bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

"Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi serta perlu mematuhi kesemua syarat-syarat pelantikan yang telah ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 12:16 PM