GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Mamat


Melaka: Peniaga kedai makan di Jalan Tun Ali, di sini, yang mengenakan caj tambahan minimum 10 sen untuk setiap transaksi kod QR di premis mereka, diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, hari ini.

Ringkasan Berita
• Kedai makan di Melaka mengenakan caj tambahan 10 sen untuk setiap transaksi QR
• Penyedia perkhidmatan pembayaran mengesahkan tiada caj dikenakan, membuktikan peniaga bersalah
• Peniaga dikompaun RM200 dan disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011
• Peniaga mendakwa caj ditentukan oleh bank, bukan dirinya

Ia susulan aduan orang awam berhubung tindakan peniaga berkenaan yang didakwa mengenakan caj satu peratus ke atas pengguna yang membayar menerusi kod QR.

Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar berkata, hasil semakan pihaknya dengan penyedia perkhidmatan pembayaran tanpa tunai itu mendapati tiada caj sedemikian dikenakan kepada pelanggan.

"Selepas kita mengadakan pengesahan, penyedia perkhidmatan mengesahkan bahawa tiada caj dikenakan terhadap perkhidmatan secara dalam talian seperti dilakukan peniaga berkenaan.

"Justeru kami dapati tindakan peniaga terbabit yang dikesan dilakukannya sejak awal tahun ini adalah satu kesalahan dan pihak KPDN negeri sudah membuka satu kertas siasatan berhubung perkara itu.

"Saya menegaskan bahawa kenaikan harga ini tidak berlaku selepas kenaikan diesel, ini dilakukan sejak awal tahun dan terdapat unsur mengambil kesempatan," katanya ketika selepas mengetuai operasi itu, hari ini.

Siasatan dilakukan atas kesalahan mencatut di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, manakala peniaga premis itu dikompaun RM200 selepas didapati tidak mempamerkan tanda harga.

Sementara itu, peniaga wanita berusia 60-an itu mendakwa caj berkenaan ditentukan oleh pihak bank, bukan pihaknya.

"Kalau nak bayar guna 'scan' (imbas kod QR), kena tambah 10 sen bagi setiap RM10 harga makanan. Kalau RM30 kena caj 30 sen sebab bank suruh bukan saya suka-suka," katanya.

Dakwanya, caj 10 sen bagi setiap pembayaran RM10 menggunakan kod QR dikenakan terhadap pelanggan itu sejak dia menggunakan sistem bayaran tanpa tunai itu awal tahun ini.

Beberapa pelanggan terkejut apabila turut dikenakan caj terbabit.

Pelanggan yang mahu dikenali sebagai Talib berkata, dia terpaksa membayar RM14.20 untuk harga sarapan pagi walaupun harga makanan dinikmati adalah RM14.

"Terkejut juga sebab belum pernah lagi saya makan di kedai lain kena caj tambahan sebegitu walaupun cuma 20 sen hanya dengan alasan caj itu ditetapkan oleh pihak bank.

"Malah, tiada sebarang notis makluman ditampal dan saya hanya mengetahui caj itu ketika hendak membuat pembayaran, saya rasa teraniaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 2:17 PM