TINJAUAN gerai menjual ayam di Pasar Awam Kuah, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
TINJAUAN gerai menjual ayam di Pasar Awam Kuah, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman

Langkawi: Harga jualan runcit ayam segar di pulau ini RM9.90 sekilogram (kg), termasuk caj pengangkutan 50 sen.

Ini menjadikan harga jualannya kekal sama seperti sebelum penamatan subsidi untuk bahan mentah itu, berkuat kuasa pada Rabu lalu.

Tinjauan di Pasar Awam Kuah di sini, hari ini, mendapati peniaga mendakwa terpaksa mengekalkan harga jualan bagi menampung caj pengangkutan.

Setiap gerai didapati menampal notis harga ayam segar dijual pada RM9.40 sekilogram, namun pada masa sama mengenakan caj pengangkutan sebanyak 50 sen ke atas pelanggan.

Peniaga, Haris Said, 61, berkata, caj pengangkutan pertama kali dikenakan pemborong sebaik peniaga beroperasi semula selepas sambutan Aidilfitri tahun lalu dan berterusan hingga kini.

"Setakat ini, tidak timbul isu kerana caj pengangkutan sebanyak 50 sen yang dikenakan kepada pelanggan ini memang dibenarkan pihak berkuasa.

"Jadi, harga ayam di pasar ini sama seperti sebelum ini iaitu tak naik atau turun, walaupun kerajaan sudah tamatkan subsidi pada 1 November lalu," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, caj pengangkutan yang dikenakan peniaga itu dalam pengetahuan pihaknya.

"Harga ayam bersih standard di Langkawi yang dijual RM9.90 sekilogram ketika ini memang dibenarkan kerana termasuk 50 sen kos pengangkutan.

"Jika ada peniaga menjual lebih dari itu (RM9.90) kita tidak benarkan, namun pemantauan mendapati ada peniaga jual RM9.50 sekilogram dan ia dialu-alukan," katanya di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 11:14 AM