ROTI John yang dijual antara harga RM10 hingga RM15 di Bazar Ramadan Taman Suria, Johor Bahru. FOTO Mary Victoria Dass
ROTI John yang dijual antara harga RM10 hingga RM15 di Bazar Ramadan Taman Suria, Johor Bahru. FOTO Mary Victoria Dass
BERNAMA

Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor mendapati tiada gerai menjual burger atau Roti John pada harga antara RM30 hingga RM40 di bazar Ramadan di Taman Suria di sini seperti yang tular di media sosial.

Pengarahnya Lilis Saslinda Pornomo berkata, berdasarkan kepada pemeriksaan dalam Ops Samar di bazar tersebut dua hari lepas mendapati rata-rata burger dijual sekitar RM6 hingga RM10 dan Roti John antara RM6 hingga RM15.

"Pemeriksaan juga mendapati tiada caj plastik dikenakan peniaga di bazar Ramadan ini, seperti yang ditularkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lilis Saslinda berkata, setakat ini, hanya satu kompaun dikeluarkan di bazar tersebut atas kesalahan peniaga gagal meletakkan tanda harga mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Baru-baru ini tular rakaman video oleh seorang individu mendakwa, peniaga di bazar tersebut mengenakan caj plastik 50 sen, selain menjual burger pada harga yang mahal iaitu RM30 dan Roti John pula mencecah RM40.

Dalam pada itu Lilis Saslinda berkata, KPDN Johor melaksanakan 727 pemeriksaan di bazar Ramadan menerusi Ops Pantau, dengan tiga kompaun dikeluarkan di bawah AKHAP sepanjang operasi yang bermula 12 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 7:03 PM