Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Rata-rata peniaga kecil mengeluh dan terkilan susulan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mengesahkan caj akan dikenakan bagi pembayaran menggunakan platform kod QR DuitNow bermula 1 November depan.

Meskipun caj itu dikenakan kepada vendor, namun wujud kebimbangan kemungkinan vendor (peniaga) akan mengenakan caj terbabit kepada mereka.

Peniaga makanan, Zalida Syuhana Ahmad, 47 berkata ramai pelanggannya bertanya mengenai caj berkenaan dan memaklumkan akan membayar secara tunai selepas pelaksanaan itu nanti.

"Memang bila peniaga menggunakan QR DuitNow ini memudahkan transaksi dibuat, tetapi apabila pelanggan sendiri tidak mahu peniaga dibebankan dengan caj itu, mereka sendiri memberitahu selepas ini akan bayar tunai saja.

"Saya harap apabila caj itu dibuat ia tidak akan menjejaskan pelanggan untuk membeli makanan kerana sekarang ramai yang memilih 'cashless'.

"Sekarang kos rasa hidup tinggi, kami peniaga kecil begitu terasa lebih-lebih lagi harga barang bahan asas seperti beras, telur dan lain-lain naik mendadak," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, caj dikenakan sebanyak 0.25 peratus nampak rendah tetapi apabila dikumpulkan setiap bulan pasti membebankan peniaga kecil.

Bagi peniaga minuman, Rani Octavia Alinur, 32 turut meluahkan rasa kecewa dan tidak bersetuju dengan sistem QR DuitNow dikenakan kepada peniaga.

"Untung kami bukan banyak tambahan dengan harga barang yang naik serta cukai yang perlu dibayar sepatutnya ada berita yang meringankan beban rakyat bukan merisaukan kami peniaga kecil.

"Kami peniaga kecil semakin tersepit, pelanggan pula asyik bertanya mengenai caj itu sebab rata-rata pelanggan membuat bayaran guna QR DuitNow," katanya.

Sementara itu, pengusaha spa, Halima Mah Suni, 42 berpendapat dia tiada pilihan jika caj transaksi dikenakan ke atas peniaga kerana selama ini hampir keseluruhan pelanggannya menggunakan bayaran menerusi sistem QR DuitNow.

Halima berkata, dia sama sekali tidak akan mengenakan caj itu kepada pelanggan dan selagi boleh menyerap kos terbabit dia akan berbuat demikian tanpa membebankan pelanggan.

"Sekarang sistem QR DuitNow ini menjadi kemudahan penting kepada peniaga dalam transaksi jual beli, sudah pasti kami peniaga tidak ada kuasa untuk menghentikan caj terbabit.

"Namun, kalau boleh caj dikenakan biarlah dikurangkan dari 0.25 peratus," katanya.

Semalam, melalui kenyataan PayNet mengesahkan bahawa vendor yang menerima pembayaran menerusi platform kod QR DuitNow akan dikenakan caj mulai 1 November ini.

Bagaimanapun, PayNet berkata kadar diskaun pedagang (MDR) yang dicaj berdasarkan peratusan nilai transaksi pembayaran melalui DuitNow QR bukan caj baru atau tambahan yang diperkenalkan kepada peniaga.

Sebaliknya, pada 1 November 2023 adalah permulaan kepada penamatan penepian MDR yang sepatutnya dilakukan lebih sembilan bulan lalu dan e-pembayaran yang dibuat oleh pelanggan kepada mana-mana peniaga, MDR yang dicaj adalah berdasarkan peratusan nilai transaksi pembayaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 3:53 PM