KAKITANGAN KKM menjalani proses pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pantai Rombang, Tanjung Kling. FOTO Hassan Omar
KAKITANGAN KKM menjalani proses pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pantai Rombang, Tanjung Kling. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Melaka: Hasrat suami muda untuk mengetahui jantina bayi dalam kandungan isteri tidak kesampaian apabila dia pergi untuk selama-lamanya selepas disahkan dijangkiti Covid-19 pagi semalam.

Pemergian Allahyarham Muhammad Share Selamat, 25, pada awal pagi semalam akibat Covid-19 amat mengejutkan isteri, Nazirah Zulkifli, 22, berikutan ketiadaan gejala wabak berbahaya itu.

Nazirah berkata, arwah sempat menjamah kambing bakar ketika mereka mengadakan kenduri keluarga di kediaman di Kampung Solok Pantai Rombang, Tanjung Kling, dekat sini, pada malam Sabtu lalu.

"Arwah tidak menunjukkan sebarang gejala menghidap Covid-19 dan memaklumkan mahu ke Port Dickson, Negeri Sembilan selepas selesai kenduri pada jam 10 malam Sabtu lalu.

"Arwah pergi bersama beberapa rakan dengan menaiki kereta untuk menikmati makanan laut dan saya tidak menghalang hasratnya itu," katanya ketika ditemui selepas pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pantai Rombang, hari ini.

Nazirah berkata, dia amat terkejut apabila abang iparnya, Azmi hadir di kediamannya pada jam 5 pagi semalam memaklumkan suaminya sudah meninggal dunia akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Menurutnya, dunia tiba-tiba menjadi gelap sebaik saja menerima berita itu tetapi dia menguatkan semangat untuk ke Hospital Port Dickson bagi menguruskan jenazah.

"Apabila kami tiba di hospital itu, barulah kami mendapat cerita sebenar daripada rakan arwah yang menyatakan ketika mereka makan, arwah tiba-tiba rebah dan pengsan, lalu mereka membawanya ke hospital.

"Doktor mengesahkan arwah meninggal dunia pada jam 3.30 pagi semalam kerana Covid-19 dan bukan akibat kemalangan jalan raya," katanya.

NAZIRAH hanya mampu memerhati dari jauh pengebumian suaminya. FOTO Hassan Omar
NAZIRAH hanya mampu memerhati dari jauh pengebumian suaminya. FOTO Hassan Omar

Nazirah berkata, arwah sebelum itu begitu teruja untuk mengetahui jantina bayi pertama hasil pernikahan mereka pada Mac lalu.

"Kami merancang membuat imbasan kerana kandungan saya sudah mencapai lima bulan sekarang tetapi arwah tidak sempat tahu jantina anaknya, apatah lagi menatap wajah anak.

"Walaupun pemergian arwah amat mengejutkan saya dan anggota keluarga yang lain, saya reda dengan kehendak Allah yang lebih menyayanginya," katanya.

Jenazah dibawa dari Rumah Mayat Hospital Port Dickson pada jam 10 pagi ke tanah perkuburan dengan menggunakan perkhidmatan percuma van jenazah Persatuan Kemanusiaan Tangga Batu (PeKeTB).

Jenazah dikebumikan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) pada jam 12.30 tengah hari tadi.

Anggota keluarga arwah dan anak kariah kampung hanya dibenarkan berada di pagar tanah kubur ketika pengebumian dijalankan.

Sementara itu, Pengerusi PeKeTB, Rahiman Abu Hassan, 53, berkata, ketika membawa jenazah arwah, dia dan anaknya, Nor Iman, 22, serta ahli jawatankuasa persatuan itu, Mohd Yusri Rojan, 48, turut memakai PPE.

"Kami doakan semoga Allah mengampunkan dosa arwah dan mencucuri rohnya dengan rahmat dan rahim-Nya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 4:10 PM