Muhamaad Razis Ismail


"Ramai yang takut dan menjauhkan diri apabila mengetahui saya bekerja sebagai pengurus jenazah Muslimah sepenuh masa," kata Nurul Huzaimah Zakaria, 32.

Bagaimanapun, bagi Nurul Huzaimah, reaksi daripada segelintir pihak terhadap dirinya itu tidak pernah melemahkan semangatnya untuk terus menjalankan fardu kifayah itu sebagai pengurus jenazah Muslimah di Amal Care sejak empat tahun lalu.

Menariknya, khidmat yang disediakan di seluruh Johor itu dilaksanakan secara percuma dan sekiranya waris ingin membuat bayaran, caj hanya dikenakan untuk kos kain kafan.

Malah, khidmat untuk menguruskan jenazah Muslimah turut dilaksanakan di empat hospital di Johor.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, pada mulanya dia mempunyai perasaan 'takut' untuk terbabit secara serius

dalam bidang itu biarpun suami, Sharul Aqmal Mohamad, 33, sudah bekerja sebagai pengurus jenazah selama 18 tahun.

Namun, segala-galanya berubah apabila suaminya berdepan kesukaran mengurus jenazah wanita terutama pada sebelah malam.

MEMAKAI PPE ketika menguruskan jenazah pesakit Covid-19.
MEMAKAI PPE ketika menguruskan jenazah pesakit Covid-19.

"Kebiasaannya, jenazah wanita diuruskan penduduk yang kebanyakannya terdiri daripada warga emas wanita. Hampir tiada wanita muda yang mempunyai ilmu untuk mengurus jenazah.

"Menyedari keperluan itu, saya memberanikan diri mengisi kekosongan itu dengan niat ingin membantu suami.

"Saya belajar selama dua tahun dengan empat guru dan menyertai pelbagai kursus sebelum mula menjadi pengurus jenazah Muslimah sepenuh masa pada 2020 sehingga kini," katanya.

Menurutnya, pengurus jenazah Muslimah bukan pekerjaan yang mudah kerana menuntut komitmen dan disiplin tinggi.

"Selain perlu mental yang kuat, seseorang itu perlu mempunyai kesabaran dan ikhlas.

"Pekerjaan ini memerlukan saya sentiasa bersedia sepanjang masa kerana kematian boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja, tidak kira siang atau malam. Menerima panggilan telefon pada tengah malam dan pada jam 3 atau 4 pagi adalah perkara biasa.

"Apabila diperlukan, saya tidak boleh tangguh dan perlu pergi segera menunaikan fardu kifayah ini supaya pengebumian disegerakan.

"Setiap hari tidak kurang tujuh hingga lapan jenazah saya perlu uruskan. Biasanya apabila hampir Ramadan, jumlah itu menjadi lebih kerap," katanya.

Dalam menguruskan jenazah wanita, dia amat menitikberatkan aurat dan aib terutama ketika proses memandikan jenazah dilaksanakan.

AKTIF berkongsi ilmu berkenaan pengurusan jenazah.
AKTIF berkongsi ilmu berkenaan pengurusan jenazah.

"Biarpun sesama jantina, aurat dan aib jenazah tetap perlu dijaga. Biasanya proses memandikan jenazah saya lakukan secara sendirian atau hanya ditemani beberapa waris dalam kenderaan khas milik Amal Care.

"Saya menguruskan semua jenis jenazah termasuk tidak dituntut waris, terbakar, dibunuh atau kemalangan. Biar bagaimanapun keadaan jenazah itu sekali pun, saya perlu uruskan dengan baik," katanya.

Nurul Huzaimah mengakui sepanjang terbabit dalam bidang itu, berdepan beberapa pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

"Antaranya saya pernah menguruskan jenazah yang sudah meninggal dunia selama tiga hari. Anehnya jenazah itu masih panas seperti baru sahaja meninggal dunia.

"Selain itu, diberi peluang untuk turut menguruskan jenazah pesakit Covid-19 dengan memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) antara pengalaman berharga sebagai pengurus jenazah.

"Ramai bertanya sama ada saya pernah mengalami sebarang gangguan ketika menguruskan jenazah dan saya akui tidak pernah melalui pengalaman seumpama itu. Setiap kali sebelum melaksanakan pekerjaan, saya amalkan bacaan ayat Kursi dan tiga Qul supaya urusan menguruskan jenazah dipermudahkan," katanya.

Bagaimanapun, Nurul Huzaimah berkongsi perkara pelik yang sering berlaku apabila mendapat panggilan telefon untuk menguruskan jenazah ketika menggunting kain kafan di rumah.

"Selain itu, petanda lain saya kerap nampak seperti kelibat susuk jenazah wanita di van jenazah suami yang diletakkan berhampiran rumah.

BERSAMA keluarga yang banyak memberi sokongan untuk terus terbabit dalam bidang pengurusan jenazah.
BERSAMA keluarga yang banyak memberi sokongan untuk terus terbabit dalam bidang pengurusan jenazah.

"Saya tak pasti ia kebetulan atau petanda berlaku kematian kerana situasi ini kerap kali berlaku sejak saya terbabit dalam bidang ini," katanya.

Ditanya pembabitan wanita dalam pekerjaan itu, dia mengakui sehingga kini jumlah wanita masih kurang berbanding pengurus jenazah lelaki.

"Saya sendiri biarpun sudah empat tahun berkecimpung dalam bidang ini, belum bertemu pelapis bersesuaian. Pernah ada wanita yang berminat dan hanya bertahan beberapa hari sebelum atas alasan demam.

"Dalam pekerjaan ini, jika bermotifkan keuntungan memang sukar untuk bertahan lama. Kena tanamkan dalam diri untuk ikhlas dalam pekerjaan dan Insya-Allah rezeki menyusul selepas itu," katanya.

Biarpun sibuk dengan tugasnya menguruskan jenazah, dia sempat meluangkan masa menjadi tenaga pengajar dalam kursus pengurusan jenazah.

"Saya sering dipanggil pihak masjid untuk berkongsi ilmu menguruskan jenazah selain turut aktif berkongsi di TikTok .

"Harapan saya, perkongsian ini memberikan kesedaran kepada masyarakat dan dapat melahirkan lebih ramai pelapis terutama golongan muda untuk menceburi bidang ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 7:00 AM