SETIAP mayat yang tidak dituntut perlu disemadikan selepas tempoh 14 hari apabila sudah memenuhi kriteria pencarian.
SETIAP mayat yang tidak dituntut perlu disemadikan selepas tempoh 14 hari apabila sudah memenuhi kriteria pencarian.
Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Dianggarkan hampir 400 mayat tidak dituntut di hospital kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Lembah Klang pada setiap tahun.

Daripada jumlah itu, Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, mencatatkan jumlah tertinggi di mana kira-kira 300 mayat tidak dituntut membabitkan pelbagai kategori.

Pegawai Sains Forensik Jabatan Perubatan Forensik HKL, Lai Poh Soon berkata, sebanyak 40 peratus daripada mayat tidak dituntut itu membabitkan warganegara, 20 peratus warga asing manakala bakinya tidak diketahui kewarganegaraan atau digelar unknown.

Menurutnya, terdapat klasifikasi ke atas mayat tidak dituntut iaitu pertamanya tiada identiti dan tiada waris, kedua mempunyai identiti, tetapi tiada waris selain ketiga ada identiti dan waris, namun pihak hospital diminta menguruskannya disebabkan faktor ketidakmampuan.

"Kategori yang mempunyai identiti, tetapi tiada waris itu kebiasaannya gelandangan dan individu yang tinggal seorang diri. Semasa individu ini meninggal dunia, tiada waris menuntutnya," katanya.

Katanya, sekiranya kewarganegaraan mayat tidak diketahui, cap jarinya diambil untuk dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tujuan pengesahan identiti.

"Sekiranya pengesanan gagal, cap jari dihantar kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk mengesahkan sama ada si mati adalah warga asing atau sebaliknya," katanya.

Dari segi cabaran menguruskan mayat tidak dituntut, Poh Soon berkata, antara isu dihadapi mereka termasuk kekurangan peti simpanan mayat.

"Ini disebabkan kami (HKL) hanya ada 36 peti mayat. Sekiranya mayat tidak dituntut lama disimpan di sini dan ada mayat yang baru datang maka tidak ada tempat untuk menyimpan mayat itu. Jadi, kami tumpang di fasiliti lain," katanya.

Beliau yang juga Pegawai Sains Forensik Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) berkata, cabaran lain yang dihadapi adalah dari segi pengesahan identiti dan pengesanan waris.

"Kami perlu mendapatkan kerjasama daripada pelbagai jabatan dan agensi. Sebagai contoh Jabatan Kerja Sosial, JPN, JIM dan kedutaan asing," katanya.

Pooh Soon berkata, dari segi garis panduan, setiap mayat yang tidak dituntut perlu disemadikan selepas 14 hari di mana ia sudah memenuhi segala kriteria membabitkan usaha pencarian dan pengesahan identiti.

"Di mana kami sudah merujuk kepada JPN, JIM dan juga pihak kedutaan. Selepas semua usaha ini dijalankan tetapi masih gagal (mengesan waris), baru kami boleh meneruskan langkah seterusnya dengan pelupusan mayat," katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Perubatan Jabatan Perubatan Forensik HKL, Hisham Nordin berkata, terdapat dua agensi yang menguruskan pengebumian mayat tidak dituntut iaitu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi orang Islam dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk bukan Islam.

"Maknanya (jenazah) yang tiada identiti, tidak diketahui agama, tidak diketahui asalnya dari mana, Jawi akan memainkan peranan. DBKL hanya mengambil yang bukan muslim sahaja," katanya.

Katanya, mayat tidak dituntut yang diuruskan oleh Jawi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak 2, Taman Selasih, Gombak.

"Mereka (Jawi) mempunyai sebuah kawasan yang digazetkan untuk mayat yang tidak mempunyai waris dan ditempatkan di kawasan khas. Ia tidak bercampur dengan (kubur) yang lain kerana (bimbang) akan menimbulkan kekeliruan," katanya.

'Dalam peti tak dituntut selama tujuh tahun'

Tempoh mayat paling lama tidak dituntut di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, adalah selama tujuh tahun membabitkan jenazah seorang lelaki warga asing akibat isu tertentu.

Berkongsi kisah itu, Penolong Pegawai Perubatan Jabatan Perubatan Forensik HKL, Hisham Nordin berkata, sepanjang beliau bekerja di jabatan itu, mayat paling lama tidak dituntut berkenaan membabitkan warganegara Somalia.

Menurutnya, mayat berkenaan sudah berada di HKL selama tujuh tahun ketika beliau baru bertugas di jabatan terbabit pada 2018.

Katanya, kes berkenaan dianggap rumit dan mempunyai isu tertentu berikutan siasatan polis mendapati rekod pengenalan diri yang ditemukan pada mayat terbabit bukan miliknya.

"Nombor pasport yang kami peroleh jawapan daripada Kedutaan (Somalia) bukan dia. Kami hantar gambar (mayat), dia (Kedutaan Somalia) kata bukan. Masalah ini menjadi tertunggak dan lama.

"Ketika mengambil alih kes mayat itu, saya cuba merujuk kepada Kedutaan Somalia, namun mereka tidak mahu mengaku mayat itu adalah warganegaranya.

"Pihak kedutaan membuat carian semula sebelum mengesahkan mayat itu bukan seperti dalam identiti ditemukan kerana dia hanya menggunakan nama samaran," katanya yang menyelesaikan kes itu dalam tempoh enam bulan.

Menurutnya, beliau turut menghargai usaha Kedutaan Somalia kerana memberi kerjasama baik dan membantu menguruskan mayat terbabit.

"Walaupun tidak mengetahui identiti sebenar mayat, Kedutaan Somalia keluarkan surat kebenaran untuk kami uruskan (mayat ini).

"Atas kebenaran itu, kami meminta bantuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk menguruskannya. Itu antara (kes mayat) paling lama saya uruskan," katanya sambil menambah mayat itu berada dalam keadaan kering, tinggal kulit dan tulang dalam peti simpanan mayat.

Hisham berkata, disebabkan kes itu juga, HKL melakukan penambahbaikan dari segi proses menuntut mayat bermula 2020.

"Sejak 2020, kami adakan perbincangan dan proses cara kerja ditambah baik bersama Unit Komunikasi Korporat (UKK) dan Jabatan Kerja Sosial (HKL).

"Kami akan memastikan segala usaha dijalankan sebelum akan melalui proses pelupusan. Sudah tidak ada seperti dahulu (apabila) kami simpan beberapa tahun. Sekarang ini maksimum (simpan mayat) dua bulan," katanya.

Hisham Nordin menunjukkan peti simpanan mayat yang terdapat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Hisham Nordin menunjukkan peti simpanan mayat yang terdapat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

'Terbayang anak sendiri bila urus jenazah bayi

Saat menguruskan mayat tidak dituntut mempunyai cabaran dan berhadapan dengan pelbagai perasaan ketika mengendalikannya.

Tidak terkecuali, Pengerusi Eksekutif Pertubuhan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) Muhammad Rafieudin Zainal Rasid yang sudah berkecimpung dalam bidang berkenaan selama 18 tahun.

Menceritakan pengalamannya, Muhammad Rafieudin berkata, kisah yang tidak dapat dilupakannya membabitkan pengurusan mayat bayi lelaki berusia empat bulan di Hospital Serdang, kira-kira tiga tahun lalu.

Menurutnya, sebelum itu pihaknya difahamkan bayi etnik Rohingya terbabit ditinggalkan ibu bapanya ketika meninggal dunia disebabkan tidak mempunyai wang untuk membayar kos perubatan.

Rafieudin.
Rafieudin.

"Saya kasihan dan simpati dengan keadaan bayi itu. Dalam masa sama, saya tak menyalahkan mak ayahnya disebabkan saya faham situasi yang berlaku.

"Memang kebanyakan kes (mayat) yang tidak dituntut ini antara sebabnya adalah masalah bil iaitu waris tak mampu bayar," katanya.

Katanya, ketika menguruskan mayat bayi itu, beliau melihat keadaannya sudah hitam legam dan berada dalam keadaan mengecut kerana disimpan berbulan dalam peti simpanan mayat.

"Kami sedih, tak sampai hati. Cabaran kami adalah dari segi emosi. Kami uruskan bayi itu, kami bayangkan anak kami," katanya sambil menambah menguruskan jenazah bayi lebih mudah berbanding dewasa.

Dalam pada itu, Muhammad Rafieudin menyatakan beliau pernah menguruskan mayat lelaki warga Bangladesh yang tidak dituntut waris selama dua tahun di Hospital Klang pada 2017.

"Waktu itu (keadaan) badan dia (mayat) sudah kecut, mata dia ke dalam. Badan dia sudah naik 'fungus' (kulat) dan keras. Kami uruskan dalam bilik mayat dengan segera.

"Kami tidak boleh terlalu lama (menguruskan mayat). Mayat itu kami ambil tempoh selama sejam untuk uruskan. Sekadar lalukan air, kafan, solat dan bawa segera ke kubur," katanya.

Katanya, mayat warga Bangladesh itu tidak dituntut disebabkan warisnya tidak dapat dikesan di negara asalnya.

HATTA
HATTA

Paling mencabar urus tubuh reput, berulat

Sebanyak 366 kes mayat atau jenazah tidak berwaris dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bermula 2020 sehingga September lalu.

Menurut statistik dikeluarkan oleh Jawi, sebanyak 98 kes dikendalikan pada 2020, 114 kes (2021), 88 kes (2022) dan 66 kes setakat September lalu.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Dakwah Jawi, Muhammad Hatta Abdul Rahman berkata, pihaknya menguruskan jenazah sekitar Kuala Lumpur dan antara yang paling banyak diuruskan membabitkan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Selain jenazah tidak berwaris, kami juga menguruskan jenazah berwaris membabitkan asnaf dan berkebajikan serta saudara baru termasuk anggota badan dan janin.

"Pelbagai cabaran dihadapi apabila menguruskan jenazah tidak berwaris, selalunya kami berdepan dengan macam-macam bentuk jenazah. Paling mencabar keadaan jenazah.

"Banyak yang reput bahkan ada yang sudah berulat. Itu antara cabarannya iaitu jenazah memang tak sempurna. Sebahagian kami urus (keadaan jenazah) okay, tapi sebahagiannya tidak sempurna," katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya jenazah yang sudah tidak sempurna itu meninggal dunia di luar fasiliti hospital.

Menurutnya, sejak mengambil alih Bahagian Pengurusan Dakwah Jawi bermula Mac tahun lalu, jenazah tidak berwaris paling lama pernah diuruskannya adalah dua tahun.

"Jenazah ini dijumpai di dalam sungai. Bentuknya memang tak tahu siapa, macam mumia.

"(Tetapi), keadaan isi dan kulit masih ada di tubuh. Mata pun dah kosong. Jenazah ini satu tahap dia reput (dan) dia akan mengecut balik. Itu yang saya cakap macam mumia," katanya.

Katanya, pihaknya akan berhati-hati dalam menguruskan jenazah seperti ini kerana akan mengambil masa kira-kira sejam untuk menguruskannya.

"Jenazah normal ini biasanya sekejap sahaja. Tetapi, yang berisiko ini kena berhati-hati kerana kami bimbang terkasar. Sebagai contoh, jika air paip itu terlebih laju, ia boleh menyebabkan kulitnya gugur (tertanggal)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 12:01 PM