EVAN Spiegel (kiri), Bobby Murphy, Lukas Walton dan Dustin Moskovitz.
EVAN Spiegel (kiri), Bobby Murphy, Lukas Walton dan Dustin Moskovitz.
Agensi

Washington: Bukan mudah untuk bergelar bilionair dalam usia yang muda ketika individu seusia masih bergelut mengumpul 'harta'.

Namun, selepas kekayaan melonjak tahun lalu ekoran ledakan momentum didorong pandemik, kini kekayaan ramai bilionair muda sudah mula merosot tahun ini disumbang inflasi selain kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi yang bakal melanda industri.

Berikut lapan bilionair yang berusia bawah 40 tahun berdasarkan senarai Forbes 400 iaitu senarai 400 individu terkaya di Amerika Syarikat.

Untuk rekod, senarai Forbes ini bersandarkan anggaran kekayaan individu berkenaan setakat 27 September lalu.

8. Scott Duncan

Usia: 39 tahun

Nilai kekayaan: AS$6.9 billion (kira-kira RM32 bilion)

Sumber kekayaan: Pembinaan saluran paip

Duncan bergelar bilionair pada usia 27 tahun apabila mendiang bapanya, taikun minyak Tecas, Dan Duncan meninggal dunia pada 2010.

Beliau bersama tiga lagi beradik mewarisi kepentingan dalam Enterprise Products Partners, empayar saluran paip yang berpangkalan di Houston yang dimulakan oleh bapa mereka pada 1968.

7. Brian Armstrong

Usia: 39 tahun

Nilai kekayaan: AS$2.7 bilion (kira-kira RM12.5 bilion)

Sumber kekayaan: Mata wang kripto

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Coinbase kehilangan hampir AS$9 bilion (kira-kira RM41.8 bilion) tahun lalu selepas nilai pertukaran mata wang kripto menjunam 75 peratus daripada nilai pasaran.

Armstrong yang juga bekas jurutera perisian Airbnb memiliki kira-kira 19 peratus saham crypto yang dilancarkannya pada 2012 ketika usia 29 tahun.

6. Nathan Blecharczyk

Usia: 39 tahun

Nilai kekayaan: AS$7.7 bilion (kira-kira RM35.8 bilion)

Sumber kekayaan: Aplikasi Airbnb

Hanya Blecharczyk antara tiga pengasas Airbnb yang berusia bawah 40 tahun dan bertugas sebagai Ketua Pegawai Strategi syarikat sewaan itu, dan Pengerusi Airbnb China.

Pegangan saham Airbnb merosot sehingga 30 peratus sejak beberapa tahun lalu menyebabkan Blecharczyk menjual AS$480 juta (kira-kira RM2.2 bilion) pegangan sahamnya.

5. Mark Zuckerberg

Usia: 38 tahun

Nilai kekayaan: AS$57.7 bilion (kira-kira RM268.3 bilion).

Sumber kekayaan: Facebook

Walaupun kekal sebagai orang terkaya di bawah usia 40 tahun menerusi seneraia Forbes 400, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Meta itu kerugian AS$80 bilion (kira-kira RM372 bilion) tahun lalu.

Ini disebabkan penurunan 60 peratus nilai sahamnya sejak beberapa tahun lalu didorong kemerosotan penggunaan media sosial.

4. Dustin Moskovitz

Usia: 38 tahun

Nilai kekayaan: AS$8.1 billion (kira-kira RM37.6 bilion)

Sumber kekayaan: Facebook

Pengasas bersama Facebook (FB) memiliki dua peratus kepentingan dalam saham Meta Platforms selain memiliki saham dalam syarikat perisian Asana yang diasaskannya selepas meninggalkan FB.

3. Lukas Walton

Usia: 36 tahun

Nilai kekayaan: AS$20.5 bilion (kira-kira RM95.3 bilion)

Sumber kekayaan: Walmart

Cucu kepada pengasas Walmart, Sam Walton mewarisi kekayaan termasuk anggaran empat peratus pegangan dalam syarikat peruncitan mega keluarganya.

Bilionair yang berpangkalan di Chicago menyalurkan itu kekayaannya untuk menyokong aktiviti kebajikan sosial dan alam sekitar melalui platform pelaburan dan sumbangan, Builders Vision.

2. Bobby Murphy

Usia: 34 tahun

Nilai kekayaan: AS$2.7 billion (kira-kira RM12.5 bilion)

Sumber kekayaan: Snapchat

1. Evan Spiegel

Usia: 32

Nilai kekayaan: AS$2.8 billion (kira-kira RM13 bilion)

Sumber kekayaan: Snapchat

Pengasas bersama Snapchat, Spiegel dan Murphy kehilangan kira-kira 80 peratus daripada kekayaan mereka sepanjang tahun lalu.

Ia mencerminkan kemerosotan saham syarikat media sosial itu susulan perkembangan industri yang lebih luas selain perubahan privasi syarikat Apple sehingga memberi kesan kepada hasil pengiklanan Snap.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 7:05 AM